Kemuraman ekonomi mula terasa dalam sektor perhotelan apabila pekerja sektor itu mula gusar akan dibuang kerja selepas Tahun Baharu Cina.
Seorang pekerja sektor perhotelan, Anthony Tan, 40 tahun, yang ditemui Suara pakatan daily memberitahu beliau berkemungkinan akan diberhentikan pada bulan Mac disebabkan kekurangan tetamu hotel.
Anthony bekerja di ‘Laundry Department’ (menguruskan pembasuhan cadar, selimut, sarung bantal dan sebagainya) lebih dari sepuluh tahun.
“Sejak bulan Oktober tahun lalu, jumlah penginap di hotel tempat kerja saya telah mengalami kekurangan dan tentulah keuntungan yang diperolehi oleh majikan juga kurang. Biasanya golongan usahawan banyak menginap di hotel itu.
“Saya sempat berbual dengan beberapa orang usahawan dari negara barat yang menjadi pelanggan tetap sejak lama dahulu. Seorang usahawan dari United Kingdom yang selalu beri saya servis tip kata beliau akan melabur modal di Filipina dan Indonesia kerana berpendapat Duterte (Presiden Filipina) dan Jokowi (Presiden Indonesia) pemimpin yang berkebolehan dan ‘boleh buat kerja dengan sempurna’.
“Beliau kata Malaysia semakin diketepikan berbanding negara-negara lain ASEAN. Selain itu, Vietnam dan Myanmar juga semakin menarik sebagai negara yang sedang membangun,” kata Anthony.
Menurut Anthony lagi, rakannya yang bekerja sebagai pelayan di restoran hotel itu selalu terdengar rungutan usahawan dari negara barat berkata iklim pelaburan di Malaysia ‘tidak meyakinkan sebab kerajaannya tiada hala tuju dan imej buruk dari isu 1MDB’.
“Akibat dari situasi tidak menentu ini, ramai majikan tentu akan menggunakan alasan ekonomi untuk mengurangkan pekerja,” kata Anthony lagi yang perasan jumlah pelancong asing dari negara barat kurang berbanding dengan tahun-tahun sebelum 2010.