Formula perkauman Barisan Nasional menjadi semakin tidak popular dan ditolak rakyat berbilang kaum apabila mantan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan pengikutnya meninggalkan parti itu baru-baru ini.
Demikian dinyatakan Ketua Penerangan Keadilan Pusat, Syed Ibrahim Syed Noh ketika mengulas tindakan keluar parti oleh mantan Presiden MCA dan pengikutnya itu.
“Walau apa alasan sekalipun, ia tetap menunjukkan bahawa penolakkan bangsa Cina terhadap Barisan Nasional (BN )melalui MCA adalah gambaran tidak puas hati mereka terhadap perjalanan sistem pentadbiran dalam negara.
“Kejatuhan ekonomi, kewangan negara yang semakin lemah dan peningkatan kos sara hidup adalah satu perkara yang sensitif serta diambil kira oleh kaum Cina yang menguasai perniagaan dalam negara ini,” kata Syed Ibrahim.
Menurut beliau, MCA sudah tidak mampu untuk memainkan peranan dalam BN dan tidak lagi relevan menjadi komponen bagi parti pemerintah itu.
Oleh itu, Syed menyeru ahli MCA melakukan perubahan dalam lanskap politik negara serta meninggalkan parti itu yang telah semakin ditolak majoriti kaum Cina dalam negara.
“Sudah tiba masanya seluruh ahli MCA memperjuangkan hak mereka dengan cara bersatu padu di bawah pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) dan PPBM supaya bukan sahaja hak orang Cina terjamin malah seluruh rakyat terbela.
“Di dalam BN peranan orang Cina menjadi semakin lemah dan kelemahan itu diguna pakai UMNO untuk mengukuhkan kuasa mereka dengan kesan jangka panjang rakyat keseluruhan terpaksa menanggung kerugian besar dalam soal pembangunan insan,” kata beliau lagi.