Penyakit Pas kini ialah mengungkit kehidupan bekas-bekas pemimpin yang dianggap penderhaka dan pengkhianat kepada perjuangan parti itu kerana menyertai Parti Amanah Negara.
Hakikatnya, bekas-bekas pemimpin dan ahli yang keluar itu mempunyai kualiti tersendiri dan telah menyumbang kepada kemajuan Pas dalam tempoh masa berdekad-dekad lamanya. Janganlah sewenang-wenangnya diaibkan mereka seolah-olah tiada sedikit pun sumbangan mereka kepada Pas selama ini.
Tabiat buruk manusia seperti itu seolah-olah melampiaskan sakit hati bagi membalas dendam dan melepaskan geram kerana nekadnya bekas ketua atau kawan meninggalkan Pas.
Sesungguhnya tabiat seperti itu tidak wajar dilakukan oleh sebuah parti yang mengutamakan akhlak Islam.
Alasan tiada lagi ‘bocor’
Kononnya selepas keluarnya golongan profesional Pas maka kebocoran maklumat dalaman parti dan sebagainya telah berjaya diatasi.
Seolah-olah keluarnya Mat Sabu, Khalid Samad, Salahudin Ayub, Mazlan Aliman dan Dr Hatta maka rahsia-rahsia Pas tidak lagi disebarluaskan.
Ianya amatlah dangkal untuk dikatakan sebegitu sedangkan selama ini bukannya bocor minit-minit mesyuarat Pas akan tetapi apa yang dibincang dan diputuskan oleh Pas sememangnya telah dapat diteka oleh orang awam dan para ahli Pas umumnya.
Oleh itu, tidak wajar didakwa bekas-bekas pemimpin Pas itu terlibat membocorkan maklumat.
AJK Pas Pusat kurang pengalaman
Kini, selepas perginya pemimpin-pemimpin berwibawa, yang tinggal adalah AJK Pas Pusat yang sangat tidak berpengalaman dan banyak yang angguk kepala serta segan kepada mereka yang digelar ulama dalam parti itu.
Yang hafal Al Quran dan kitab-kitab muktabar sememangnya tidak ramai dalam AJK Pas Pusat. Bila ada perkara-perkara besar maka diserahkan kepada ulama tertinggi membuat keputusannya.
Maka tidak hairanlah ada beberapa keputusan merugikan parti seperti berbaik-baik dengan Umno tidak didebatkan secara mendalam dan akhirnya dipertikaikan oleh ahli bawahan sendiri akan rasional serta relevannya keputusan itu.
Pas kalah 10 kerusi di Selangor?
Baru-baru ini terdapat kajian dalam sebuah akhbar Cina menyatakan Pas bakal kalah 10 kerusi DUN Selangor. Namun maklum balas dari pengundi sebenarnya Pas akan hilang semua kerusi yang dimenangi dalam PRU 13 lalu. Pas akan kembali menjadi pembangkang di DUN Selangor sekiranya masuk PRU 14 secara bersendirian.
Dalam hal ini, usahlah Dr Zuhdi, Din Ayam atau Tantawi tunjuk analisa mereka kononnya Pas ada strategi itu dan ini. Realitinya, di peringkat Selangor sendiri, Pas amat perlukan dana pilihan raya untuk menggerakkan jenteranya dan memberi makan petugas mereka dalam PRU 14 nanti
Namun hakikatnya kantung Pas Selangor sekarang telah kehabisan modal. Hal itu sahaja sepatutnya menjadi renungan pemimpin Pas. Apatah lagi kempen melawan Umno ketika bersendirian dan tidak dibantu olah rakan-rakan tahaluf sebagaimana PRU 2008 atau 2013 lalu.