Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung janji Barisan Nasional (BN) untuk membina hospital di negeri itu yang belum ditunaikan.
Menurut Naib Pengerusi Amanah Perak Dr Fakhruldin Mohd Hashim, projek baharu Hospital Kerian diumumkan pada tahun 2006 belum dilaksanakan hingga kini, manakala pada tahun 2008 kerajaan mengumumkan projek baharu Hospital Seri Iskandar.
Seterusnya pada tahun 2012 kerajaan mengumumkan Hospital Kampar dan belum terlaksana sehingga kini.
“Amanah Perak mengharapkan Datuk Seri Najib dapat juga melihat kepentingan merealisasikan projek hospital baharu yang pernah dijanjikan di negeri Perak sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Najib bahawa kerajaan akan membina hospital baharu iaitu Hospital Bachok ketika melawat Kelantan Ahad lalu.
Sambil mengucapkan tahniah kepada rakyat Kelantan, Fakhruldin mengingatkan Najib agar turut tidak menganaktiri negeri Perak.
Projek pada asalnya diumumkan pada tahun 2010 tersebut akhirnya bakal menjadi realiti dengan ungkapan Najib bahawa ‘saya sayang orang Kelantan’ semasa mengadakan lawatan ke Kelantan setelah hampir tujuh tahun pengumuman projek ini dahulu.
“Janganlah dianaktirikan negeri Perak dalam isu kesihatan rakyat untuk kepentingan politik Barisan Nasional (BN) semata-mata,” katanya.