Keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan usul rang undang-undang Akta 355 yang dibentangkan presiden Pas semalam telah diketahui lebih awal para pemimpin parti komponen BN.
Presiden MIC Dr S Subramaniam berkata, BN sudah membuat keputusan supaya tidak berlakunya pengundian bagi usul persendirian Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 selepas perbahasan dan huraian di Dewan Rakyat, semalam.
Menurut Subramaniam, mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN sudah menetapkan usul persendirian ahli Parlimen Marang itu akan dibentangkan dan dihuraikan namun tiada pengundian akan dilakukan.
“Keputusannya adalah membenarkan Pas membentangkannya dan terdapat persetujuan untuk tiada sebarang pengundian,” kata Dr Subramaniam, ketika ditemui di Parlimen, semalam.
Ahli Parlimen Segamat itu berkata, keputusan itu selari dengan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN.
Kali terakhir Majlis Tertinggi BN bersidang adalah pada 29 Mac apabila perdana menteri yang juga pengerusi BN mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 walaupun beberapa kali dijanjikan sebelumnya.
Keputusan itu, kata Najib dibuat sebagai menghormati konsensus BN.
Subramaniam berkata, sekiranya Speaker Dewan Rakyat tidak menangguhkan sesi perbahasan usul persendirian tersebut, MIC akan memberikan pendirian dan pendapat mereka berhubung perkara itu.
“Oleh sebab speaker tidak membenarkan perdebatan jadi MIC tidak boleh menyertainya.
“Jika speaker membenarkan pihak lain untuk berbahas, kami akan memberikan pendapat kami daripada sudut pandang Perlembagaan,” kata Dr Subramaniam dipetik The Malay Mail Online.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata, konsensus yang dicapai BN adalah hanya membenarkan RUU 355 itu dibentangkan.
“Itu sebenarnya keputusan (yang dicapai BN) tetapi hanya untuk memperkenalkan (RUU 355)… dan itu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita.
Pandikar semalam menangguhkan perbahasan usul persendirian Abdul Hadi untuk meminda RUU 355 ke sesi sidang Dewan Rakyat akan datang pada 24 Julai depan.
Keputusan itu dibuat selepas ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan selesai berucap menyokong usul persendirian tersebut selepas Abdul Hadi membentangkannya di Dewan Rakyat. MD