Peguam hak asasi terkenal Syahredzan Johan berkata ahli palimen Pas mengetahui usul RUU 355 akan ditangguhkan.
Katanya, hal itu kerana tiada seorang MP pun Pas bangun membantah tindakan Speaker menangguhkan perbahasan kepada sesi Dewan Rakyat akan datang.
“Tiada seorang pun wakil rakyat PAS yang bantah penangguhan ini. Baik yang menangis dalam Dewan ataupun yang tidak. Saya jangka mereka tahu ini akan berlaku,” katanya di facebook dipetik FMT.
Shahredzan percaya PAS dan Umno akan menggunakan sokongan kepada RUU 355 untuk menggambarkan diri mereka sebagai “pembela Islam” untuk meraih undi.
“Nah, lihat Lim Kit Siang dan DAP kacau sebelum bentang. Nah, lihat Khalid Samad terpekik macam orang hilang kewarasan.
“Takkanlah anda sebagai orang Islam mahu sokong golongon macam itu.”
Sebaliknya, pihak yang dipermainkan dalam sandiwara pembentangan usul Hj Hadi, menurut beliau, adalah Pakatan Harapan dan mereka yang percaya akan ada perbahasan dan pengundian tentang usul RUU 355.
Mengulas isu sama, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata strategi perbahasan itu dirancang untuk menjadikan isu RUU 355 sebagai modal pilihan raya.
Katanya, menangguhkan debat usul Hadi menunjukkan permainan politik Pas dan Umno.
“Sidang Parlimen yang akan datang besar kemungkinan hanya selepas pilihan raya. Umno setakat ini dah berjaya pecah belahkan pembangkang.
“Dalam pertandingan 3 penjuru, kemungkinan besar Pas atau Pakatan Harapan akan hilang banyak kerusi.
“Dah banyak kali kita lihat perkara ini berlaku, dari ketika Pas dikhianati Umno untuk merampas Kelantan hingga semua janji pilihan raya yang dibuat Umno.”
“Banyak yang naik muak dengan politik negara secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan.