Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah, Ustaz Zolkharnain Abidin bersimpati dengan nasib ahli Pas di peringkat akar umbi yang berterusan diperalat pemimpin mereka sendiri.
Menurutnya, kehidupan pemimpin Pas pada masa ini berbeza dengan ahli parti itu yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga demi memperjuangkan Islam acuan Pas.
“Kasihan ahli Pas di peringkat cawangan yang terus diperkudakan oleh pemimpin mereka. Ketika mereka berjaga malam untuk teruskan ‘perjuangan Islam’ versi Pas, pemimpin mereka bersenang-lenang dengan ulitan kemesraan dan kemewahan anugerah pemimpin Umno.
“Ketika mereka nak ‘lawan Umno’, pemimpin mereka ajak orang ramai memilih Umno,” ujarnya mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam wawancara Mingguan Malaysia keluaran 16 April lalu.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dalam laporan akhbar pro-Umno itu mendakwa kuasa politik orang Melayu terletak pada Pas dan Umno bahkan Pas bukan ‘berperang 24 jam’ dengan Umno sebaliknya bekerjasama untuk kebaikan Islam dan rakyat.
Mengulas lanjut, Ustaz Zolkharnain menyifatkan Hadi secara jelas berkempen untuk Umno pada ketika Pakatan Harapan berusaha mengajak rakyat memerangi Umno.
“Kalimah atau, meletakkan Umno dan Pas pada suatu situasi sama rata dari sudut layak untuk diundi oleh rakyat. Ketika PH (Pakatan Harapan) bertungkus-lumus mengajak rakyat menolak Umno, Hadi merestui Umno untuk dipilih.
“Nampaknya, pendedahan Rafizi bahawa Pas menerima dedak Umno melalui Nasharudin semakin terbukti. Untuk apa Hadi buat begitu, kalau bukan untuk membalas jasa Umno dan Najib kepada pemimpin Pas?” soal pendakwah dari Perlis itu.
Beliau berkata, rakyat semakin jelas melihat Abdul Hadi mutakhir ini tidak lagi mengkritik Najib dan Umno.
“Apabila dia (Abdul Hadi) mengajak rakyat untuk memilih Umno jika tak mahu memilih Pas, maknanya dia mahu Umno menang.
“Ini juga bermakna, Pas masuk pilihan raya bukan untuk menang, tetapi untuk mengganggu PH. Pas cuma pengacau kemaraan PH,” tegasnya dipetik daripada catatan beliau di Facebook.
Ustaz Zolkharnain turut berpendapat tindakan Abdul Hadi mengajak orang Melayu memilih Umno bercanggah dengan prinsip Pas selama ini yang menolak perkauman. “Ketika kepercayaan orang Melayu kepada Umno sudah terhakis, Hadi mengajak rakyat memilih Umno. Pelikkan?
Orang Umno sendiri keluar Umno, Hadi pula ajak orang ramai pilih Umno atas alasan kepentingan Melayu.
“Hadi sudah jadi pejuang Melayu pula? Bukankah perjuangan Umno suatu masa dulu adalah asabiah Melayu, kini bukan lagi?
“Semakin hari, kompas politik pemimpin Pas semakin gelong. Mereka bukan lagi fokus utk tumbangkan Umno-BN,” bidasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau mengajak ahli Pas menilai kembali perjuangan Pas pada masa ini termasuk keluar daripada parti berkenaan.
“Tidak salah mereka tinggalkan Pas kerana pemimpin Pas kini bukan meneruskan perjuangan pemimpin terdahulu. Kini Pas sudah jadi sekutu Umno,” tegasnya. MD