Perubahan arah perjuangan Pas pada Muktamar kali ke-63 di Kedah baru-baru ini jelas kurang menguntungkan parti itu. Bekas AJK Pas Pusat Ir Khalid Samad berkata, Pas tidak lagi mengutamakan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan, skandal kewangan 1MDB dan sebagainya dalam tajuk perbahasan, sebaliknya lebih suka menghentam DAP, PKR dan Amanah.
Beliau yang kini AJK Parti Amanah Negara (Amanah) melihat perjuangan Pas mula mengundur ke belakang seawal era 1980an yang mengutamakan agama dan bangsa Melayu. Menurutnya, perjuangan Pas pada waktu itu tidak menarik minat masyarakat pelbagai kaum untuk menyokongnya kerana bertentangan dengan realiti kehidupan berpolitik di Malaysia.
“Saya dapat perhatikan dalam Muktamar Pas Ke-63 perwakilan parti itu telah ‘menghentam’ PKR dengan hebatnya.
“Ini jelas menunjukkan Pas ‘berpihak kepada siapa’ dan adalah lebih baik untuk Pakatan Harapan memberi tumpuan penuh merancang strategi Pilihanraya Umum Ke-14 tanpa Pas kerana parti itu kelihatan sudah terperangkap dalam era politik zaman 1980an,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu kepada Suara pakatan daily.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Amanah berkata, parti pembangkang dominasi Melayu khususnya Amanah kini menyasarkan untuk bertanding di kerusi Pas dengan membawakan isu kemasyarakatan yang lebih relevan dan semasa. Untuk itu, kata Khalid, Amanah sudah memulakan program penerangan di kawasan-kawasan Melayu, menjelang PRU 14 yang dijangkakan dalam beberapa bulan daripada sekarang.
“Selagi kita meletakkan calon satu lawan satu di setiap kerusi yang PH bertanding, kita pasti boleh mencapai kemenangan. Sekarang pun, kita sedang mengadakan program penerangan kepada pengundi terutamanya di kawasan luar bandar berkenaan dengan senario politik negara,” katanya dan berpendapat sekiranya pengundi di luar bandar faham mengenai situasi politik terkini, pungutan undi pasti akan berpihak kepada Pakatan Harapan.
Khalid juga memberitahu rakyat yang telah kehilangan mata pencarian, terutamanya pekerja sektor industri diramal akan menyokong PH selain daripada pekerja sektor swasta yang lain.
“Oleh itu, kita perlu bekerja keras untuk mencelikkan minda politik penduduk di kawasan luar bandar.
“Pendirian terkini Pas terhadap PKR dan GST (yang tidak tegas menentang) akan memberi laluan agak mudah kepada kita kerana pengundi di luar bandar sedang merasa bahang GST dan kenaikan harga barang akibat cukai itu.
“Sebab itulah PM Najib masih belum lagi membubarkan Parlimen. Tengoklah dalam beberapa hari ini (sekiranya PRU sebelum Ramadan), adakah pembubaran akan dilakukan atau pun tidak,” katanya lagi.