Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan senarai utama barisan kepimpinannya untuk diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) selewat-lewatnya minggu depan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Majlis (Presiden) Pakatan Harapan telah bincang secara panjang lebar semua berkaitan isu Pakatan Harapan, khususnya struktur organisasi.
“Mesyuarat kali ini mencapai kata sepakat yang baik. Beberapa keputusan penting secara bersama telah dipersetujui.
“Pakatan Harapan akan mengumumkan barisan kepimpinan utama Pakatan Harapan untuk dihantar kepada RoS selewat-lewatnya minggu depan,” katanya selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di ibu pejabat PPBM hari ini yang dihadiri majoriti pemimpin utama 4 parti komponennya, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kenyataan ketua pembangkang itu secara tidak langsung menunjukkan PH sudah memilih pucuk pimpinannya yang dipersetujui PKR, DAP, PPBM dan Amanah.
Mengulas lanjut, presiden PKR itu yakin barisan kepimpinan yang akan menerajui PH mampu membawa perubahan kepada politik negara.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan bapanya dilantik sebagai pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi presiden dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekadar penasihat PH berdasarkan senarai struktur organisasi PH yang tersebar.
“Sepertimana wakil kami (PPBM) telah menjawab apabila ditanya media mengenai senarai yang tersebar itu. Yang pertama, senarai itu tidak dibocorkan atau didedahkan mana-mana wakil PPBM.
“Kita ada senarai yang berbeza daripada yang tersebar itu dan ia tidak sama,” katanya.
Dalam senarai pucuk pimpinan PH yang tersebar itu, selain 3 pemimpin terbabit, Dr Wan Azizah dikatakan menjadi timbalan pengerusi PH, sementara timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai timbalan presiden PH.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu pula dilantik sebagai naib presiden PH.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan calon perdana menteri yang akan mewakili pakatan pembangkang belum dibincangkan secara terperinci.
Muhyiddin pula enggan mengulas calon perdana menteri dan barisan pucuk pimpinan PH.
“Saya tidak boleh beri apa-apa komen, tunggu mereka buat kenyataan,” katanya. – FMT