Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman pemula terhadap kerajaan untuk membatalkan sabitan serta membebaskan beliau dari penjara ekoran sabitan kes liwat, berikutan pembongkaran bayaran rahsia RM9.5 juta oleh Perdana Menteri kepada pendakwaraya bebas Tan Sri Shafee Abdullah oleh portal Sarawak Report.
Dengan alasan beliau tidak mendapat perbicaraan adil Anwar yang diwakili peguam, N Surendran berkata, saman pemula itu bertujuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 yang memutuskan ketua umum PKR itu bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
“Dalam saman pemula ini, kerajaan Malaysia dinamakan sebagai defendan dan susulan itu mereka yang dipanggil sewaktu perbicaraan harus datang mewakili kerajaan,” katanya di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir anak Anwar, Nurul Nuha Anwar dan peguam, Latheefa Koya, Sivarasa Rasiah serta Eric Paulsen.
Surendran juga berharap kes itu dapat didengar secepat mungkin kerana Anwar tidak berhak meringkuk dalam penjara walaupun sehari.
Sebelum ini, Sarawak Report mendakwa peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik khas bagi mengetuai pasukan pendakwa raya dalam kes liwat Anwar, menerima RM9.5 juta daripada akaun bank peribadi perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.
Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi dan menyabitkan Anwar selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Anwar melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang, pada 26 Jun 2008. – MD