Spekulasi terbaharu menyebut pilihan raya umum ke 14 bergantung kepada sukses atau tidak lawatan presiden China Xi Jinping ke Malaysia pada Oktober ini.
Menurut penganalisis politik lawatan itu yang akan menjanjikan pelaburan dan hubungan dua hala lebih baik diharap akan menaikan sentimen masyarakat Cina Malaysia untuk mengundi BN demi kemakmuran ekonomi.
“Walaupun kini ramai orang percaya Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) akan diadakan pada tahun hadapan kerana lawatan pemimpin China, Xi Jinping ke Malaysia pada bulan Oktober ini, saya berpendapat PRU14 juga boleh diadakan pada bulan September jika PM Najib Razak yakin beliau akan menang besar dalam pilihanraya umum tersebut,” kata penganalisis ekonomi, Albert Kwok kepada Suara pakatan daily.
Albert menberi amaran kepada Pakatan harapan agar bersiap-sedia terhadap perubahan sokongan kaum Cina selepas lawatan pemimpin utama Tanah Besar itu.
“Lawatan oleh Xi adalah satu langkah strategik oleh PM Najib untuk meraih sokongan dari masyarakat Cina tempatan terutamanya dari golongan usahawan Cina.
“Lawatan itu akan menjanjikan banyak pelaburan di Malaysia dan usahawan Cina tempatan boleh mengambil kesempatan ini untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan mengadakan urusan perdagangan dengan China.
“Oleh yang demikian, usahawan Cina tempatan akan berpikir jika hendak lebih pelaburan dari China maka lebih baik undi BN sebab dasar luar negara PH tidak berapa jelas pada masa ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa PH agar lebih berhati-hati kerana ada pihak yang meramalkan DAP mungkin hilang beberapa kerusi akibat sentimen kewangan China.
“Buat masa ini pun sudah ada dua usahawan Cina tempatan yang saya kenal yang dulunya pro-Pakatan sudah beralih sokongan kepada BN kerana mereka mahu memperoleh manfaat dari lawatan Xi.
“Namun demikian, saya tahu kalau China membina projek di Malaysia, pekerja-pekerja dan pihak pengurusan adalah warga China dan ini tidak banyak memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Albert menyeru PH supaya merangka satu dasar luar negara yang mantap untuk diberitahu kepada rakyat semasa kempen PRU14 nanti.