Tidak sukar untuk meramal politik Malaysia. Sekiranya BN menyerang bertalu-talu terhadap sesuatu pihak maka bermakna koalisi pemerintah itu sedang gelabah dan pembangkang mempunyai potensi untuk menang dalam pilihan raya umum.
Terkini serangan bertubi-tubi ditujukan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan DAP yang membawa makna Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang baik untuk menyingkirkan BN dalam pilihan raya umum Ke-14 (PRU14).
Tinjauan Suara pakatan daily melalui wawancara ke atas pelbagai golongan rakyat Malaysia sejak bulan Jun lalu memberi gambaran bahawa pengundi bandar akan memilih PH dan dan medan pertempuran akan beralih ke kawasan sub bandar serta kampung yang masyarakatnya kurang terbuka.
Hal yang sama dipersetujui oleh penganalisis ekonomi Albert Kwok. Katanya, serangan bertali arus BN kepada DAP sejak kebelakangan ini adalah untuk memastikan kaum Melayu terus keliru dan takut membuat perubahan kerana hanya undi Melayu sahaja yang dilihat boleh menyelamatkan BN.
“Serangan yang mengandungi unsur-unsur perkauman ke atas Tun Dr Mahathir dan DAP sejak beberapa minggu ini digunakan oleh pemimpin Umno untuk meraih undi Melayu.
“Pemimpin MCA juga sedang asyik mengumumkan bahawa masyarakat Cina kali ini akan mengundi BN. Topik perkauman adalah talian hayat terakhir untuk BN mempengaruhi rakyat kerana masa sudah suntuk buat mereka,” katanya.
Albert berpendapat isu 1MDB bukan sahaja telah menghitamkan imej BN dalam kalangan pengundi bandar tetapi isu itu telah mula difahami pengundi luar bandar akibat kempen mudah pembangkang mengaitkan 1MDB dengan hutang negara dan kenaikan cukai serta harga barang.
Katanya, jika pengundi luar bandar mula faham 1MDB maka BN tidak mungkin mendapat kemenangan mudah dan luar bandar bukan lagi deposit tetap koalisi itu.
“Terlalu besar skandal 1MDB ini. Tidak boleh ditutup dalam era IT. Justeru itu, hanya orang kampung saja yang tidak tahu-menahu mengenai berita 1MDB dan oleh itu topik perkauman akan diberi tumpuan oleh BN untuk mengalih perhatian pengundi di kampung dan pada yang sama mengekalkan sokongan Melayu
“Bagaimanapun jika PRU14 ditangguh lebih lama maka semakin banyak isu 1MDB yang akan muncul. Oleh itu PRU14 akan diadakan sebelum pengundi luar bandar bangun dari tidur mereka,” tambah Albert lagi.