KRITIKAN SASTERA
Seperti di dalam novel Senjakala, antologi cerpen ‘Kampung Halaman’, Baharuddin Kahar masih mengekalkan bahasa dan frasa-frasa romantik dalam novel remaja. Cerita Adam terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini bolehlah dikatakan berjaya dari segi mesej pendidikan moral yang sewajarnya ada dalam sesebuah novel remaja.
Baharuddin tidak seperti para penulis muda masa kini yang sering memasukkan episod cinta melulu apabila ada kesempatan menulis novel remaja. Para penulis muda masa kini lebih terliur menulis kisah-kisah yang berbaur cinta melulu tanpa memikirkan permasalahan itu akan diikuti para remaja yang membaca karya mereka.
Adam dalam novel karya Baharuddin ini mewakili remaja yang kehilangan kasih sayang bapa disebabkan perceraian ketika Adam masih kecil. Adam dibesarkan oleh ibunya yang sabar dan penuh ketabahan dalam melayari hidup di tengah ‘masyarakat bawahan’ yang hidup di kampung dan di bandar
Kelab malam
Kasmah ialah ibu Adam meninggalkan kampung halaman dan beliau mengerti bahawa kerenah kehidupan masa kini sangat memerlukan ilmu atau pendidikan sempurna untuk seseorang hidup lebih sempurna atau berjaya. Disebabkan kesedaran itulah Kasmah sanggup meninggalkan kampung halaman dan sedaya upaya dia ingin bekerja untuk membesarkan Adam dan memberi pelajaran sewajarnya bagi anaknya itu meredah hutan kehidupan yang beronak duri. Dia ingin ‘menanam otak’ kepada anaknya Adam.
Keperihalan ini digambarkan dengan menarik oleh Baharuddin sehingga kita berasa ia begitu realistik, dengan bahasa yang mudah difahami namun masih dibaluti bahasa kreatif yang memikat.
Apabila Kamsah dan Adam meninggalkan kampung halaman, berhijrah ke bandar Ipoh dan tinggal di rumah June, Kasmah berasa di bandar itulah tempat sesuai untuk dia mencari rezeki untuk hidup dan menyekolahkan Adam. Di bandar Ipoh Kasmah bekerja sebagai penari kelab malam. June juga bekerja di situ. Disebabkan pekerjaan Kasmah itulah Adam diejek oleh kawan-kawannya di sekolah. Malah Adam dihina oleh kawan-kawannya semata-mata pekerjaan ibunya, yang akhirnya memberi tekanan jiwa kepada hidup Adam sebagai remaja yang masih di bangku sekolah
Ejekan demi ejekan, penghinaan demi penghinaan yang diterima Adam di sekolah akhirnya telah merobah sakhsiah Adam iaitu daripada anak muda yang bersopan-santun terhadap ibu bapa dan orang tua telah menjadi seorang yang bersifat kasar, berdendam seta kurang ajar dengan ibunya. Selebihnya Adam juga cepat pemarah, perungus dan bebal. Semua sifat itu disebabkan tekanan jiwa yang dialaminya lantaran penghinaan dan ejekkan daripada kawan-kawan di sekolah. Semua sifat ini digarap oleh Baharuddin secara konsisten untuk watak Adam yang kehilangan kasih bapa dan menjadikan novel itu sangat menarik untuk dibaca oleh para pelajar dan ibu bapa
Watak Adam bagaikan puntung hanyut di arus menggila dalam sungai kehidupan yang kejam yang sentiasa bergelora. Namun disebabkan hati suci dan niat mulia untuk menjadi anak yang berguna untuk agama, bangsa dan negara, dia dihadirkan beberapa insiden yang cukup menginsafkan oleh pengarang yang akhirnya Adam dengan ikhlas surut ke belakang, kembali kepada ibunya yang tercinta
Seperkara yang menarik dalam novel cerita Adam ini bahasa yang digunakan oleh Baharuddin cukup bersahaja tetapi amat romantik, sesuai dengan khalayak remaja. Baharuddin tidak terikut-ikut menggunakan bahasa kesat seperti para penulis muda masa kini yang menulis karya remaja dan novel popular. Baharuddin jelas sekali tahu peranannya sebagai penulis iaitu dia tidak terlalu ghairah menyelitkan bahasa dan ayat-ayat yang sukat difahami pembaca, akhirnya para pembaca menjadi benci terhadap karya sastera masa kini
Tahniah kepada Baharuddin kerana menghasilkan cerita Adam yang benar-benar memukau!
PUISI
Catatan Pengembara Luka
Sejauh pendakian ini
aku begitu reda
segala ketentuan Ilahi
Kutahu
senja telah turun di sini
namun masih mendaki
dan terus mendaki
dengan penuh keredaan
tanpa sungutan
Aneh sekali
ketika dalam pendakian
yang tumbuh di ingatanku
bukan wajah sanak saudara
dengan segala pangkat mereka
juga bukan wajah para teman
dengan kemewahan palsu.
Dan mereka itu
telah lama memijak sejarah:
berkaki ayam ke sekolah
semuanya lenyap
dan senyap persis mayat
Sejauh pendakian ini
yang bangkit di hatiku
ialah sebuah perigi kecil
di hujung halaman rumahku
Di situ
pada sebatang pokok
kutulis namamu:
J.D.A.H
Ahmad J. Husein
Kulim, Kedah