Lim Kit Siang menggesa DAP Melaka melupakan perbezaan dalam parti itu dan bersatu untuk merampas negeri berkenaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Penasihat DAP itu dalam kenyataan hari ini memberikan jumlah undi yang diperlukan untuk Pakatan Harapan menang di Semenanjung Malaysia.
Beliau pernah berkata, 10% peralihan undi Melayu dan 5% peralihan undi bukan Melayu cukup untuk PH memenangi 113 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia serta mengekalkan pemerintahan di Pulau Pinang dan Selangor, selain menawan Johor, Negeri Sembilan dan Perak.
Kini, Kit Siang berkata, situasi kali ini berbeza di Kedah dan Melaka.
Untuk menang di Kedah, katanya, PH memerlukan lebih sedikit daripada 10% peralihan undi Melayu dan 5% peralihan undi bukan Melayu.
Di Melaka pula, sebanyak 15% peralihan undi Melayu dan 5% peralihan undi bukan Melayu diperlukan gabungan pembangkang itu.
“Peralihan 10% dan 5% undi hanya memadai untuk PH memenangi 11 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka. Ini tidak cukup untuk PH mengambil alih kerajaan negeri.
“Untuk membolehkan pertukaran kerajaan negeri berlaku, ia memerlukan 15% peralihan undi Melayu bersama 5% peralihan undi bukan Melayu.
“Jika ini berlaku, PH akan memenangi 17 daripada 28 kerusi DUN dan mengambil alih kerajaan negeri Melaka.”
Kit Siang yang mengakui ia bukan perkara mudah berkata, parti itu sedia bekerjasama dengan DAP Melaka untuk mencapai sasaran itu.
“Ia bukan rahsia DAP berdepan isu kepimpinan di Melaka dahulu dan baru-baru ini. Semoga kita dapat melupakan kisah lama dan bekerjasama demi masa depan Melaka dan negara menjelang PRU14.”
Februari lalu, DAP Melaka dikejutkan dengan peletakan jawatan 4 pemimpinnya, iaitu Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him bersama 3 adun negeri itu – Lim Jak Wong, Chin Choon Seong dan Goh Leong San.
Mereka meletak jawatan pada 12 Februari lalu kerana kurang kepercayaan terhadap kepimpinan parti, selain mendakwa DAP menyimpang daripada objektif asal.
Susulan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan kesal kerana mempercayai 4 pemimpin itu, terutamanya Sim yang dipilih Kit Siang sendiri sebagai calon DAP di kerusi DUN Tengkera pada PRU 1986.
“Sim terkenal dengan janjinya ‘beliau akan hidup dan mati sebagai ahli DAP, fakta ini tidak dapat diubah’.
“Sim jelas melanggar ikrar sendiri, bukan sahaja kepada parti tetapi penyokong DAP,” kata Guan Eng.
Kit Siang yang juga ahli Parlimen Gelang Patah berkata, jika DAP Melaka tidak boleh bersatu dalam misi menumpaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan pimpinannya, peluang “tsunami rakyat Malaysia” 15% dan 5% sangat tipis di Melaka.
“Tetapi, jika kita boleh mencari jalan dan bekerjasama sebagai sebuah pasukan PH yang kuat dan bersatu, kita secara perlahan-lahan pasti boleh mencipta momentum untuk tsunami politik rakyat Malaysia melanda Melaka.” – FMT