Syawal yang bakal menjelang dan kepulangan anak-anak rantau dari Lembah Kelang ke kampung halaman wajar dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi menyebarkan berita mengenai kecurangan dan penyelewengan kerajaan BN dalam mentadbir negara.
Sebagaimana gelombang Reformasi 1998 yang merebak ke luar bandar terutama di Pantai Timur dan Utara tanah air ketika itu, selepas dikhabarkan oleh anak rantau yang pulang berhari raya kepada orang tua mereka di kampung, gelombang Bersih juga perlu diberi sentuhan yang sama.
Timbalan Presiden PAS Hj Mohammad Sabu berpesan kepada anak rantau agar pro-aktif menyebarkan kebangkitan yang melanda masyarakat bandar ke kampung halaman mereka agar masyarakat di luar bandar ikut melakukan perubahan dalam pilihanraya akan datang.
“Saya mengharapkan semangat Reformasi 1999, yang mana anak-anak muda balik ke kampung bercerita betapa hebatnya gelombang Reformasi di Lembah Kelang kepada keluarga di sana.
“Harapan kita kali ini, mereka akan bercerita mengenai gelombang Bersih pula. Memberitahu penyelewengan pilihanraya BN, penyelewengan wang, pembaziran, rasuah, kempen barang naik dan sebagainya agar masyarakat luar bandar akan membuat perubahan dalam pilihanraya akan datang,” katanya sewaktu menunggu waktu berbuka di Majlis Berbuka Puasa Bersama Pakatan Rakyat di sebuah hotel di Jalan Raja Laut semalam.
Mohammad dalam majlis itu diminta memberikan hadiah kepada pemenang mereka cipta kad hari raya PAS yang dimenangi oleh seorang penuntut di Mesir.
Ketika ditemui wartawan selepas berbuka beliau sempat berseloroh kecederaan kakinya kian beransur pulih. Dan selepas 3 bukan, katanya, beliau akan berlari.
“Selepas pembedahan, doktor anggarkan 3 bulan baru pulih sepenuhnya. Sekarang baru sebulan. Tapi selepas 3 bulan saya sudah boleh berlari.
“Buat masa ini terpaksa gunakan tongkat dahulu untuk menuruni tangga. Naik tangga ok, tak perlu tongkat,” guraunya.
Berkenaan saman yang akan difailkan kepada pihak polis kerana merempuh motorsikal yang diboncengnya sehingga beliau mengalami kecederaan, Mohammad berkata saman akan difailkan selepas hari raya.
“Kita dengar inkuiri Suhakam dahulu. Selepas inkuiri itu saya akan failkan saman,” katanya.
Mohamad mengalami kecederaan ligamen lutut selepas dirempuh oleh kenderaan pacuan empat roda polis ketika bergerak ke Menara Maybank pada 9 Julai lalu. Polis menafikan telah merempuh beliau dan Mohamad akan membuktikan perkara itu melalui saman di mahkamah.