Rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan cadangan kerajaan BN bahawa subsidi minyak hanya akan dikembalikan sekiranya harga naik selama tiga bulan berturut-turut.
Menurut ahli parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, penyelesaian seperti itu seperti memperolok-olokkan rakyat. Terutama, sekiranya harga hanya naik selama dua bulan dan turun, kemudian naik lagi untuk dua bulan.
“Kenyataan kerajaan bahawa mereka akan bertindak hanya jika harga petrol RON95 dan diesel melebihi RM2.50 untuk 3 bulan berturut-turut adalah satu kenyataan yang terlalu mengecewakan.
“Adakan ini menunjukkan bahawa kerajaan sudah tidak mampu mengembalikan subsidi minyak dengan segera?” tanyanya.
Menurut Raja Kamarul, Pakatan Harapan (PH) lebih bertanggungjawab dalam polisi memberi subsidi dan berazam untuk memastikan RON 95 pada paras harga di bawah RM2.00 seliter.
“Pakatan Harapan akan menurunkan harga minyak kepada paras RM2.00 ke bawah dan juga akan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan tetapi Kerajaan BN jelas terbukti tidak mampu berbuat demikian.
“Oleh itu, pemimpin-pemimpin BN janganlah kata kita PH ‘tipu rakyat’ atau ‘sedang berkhayal (fantasy budget)’. Jika PH menang Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14), kami mampu mengotakan janji,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau juga mengingatkan rakyat mengenai janji kerajaan pada Februari 2012 di mana PM Najib berkata kerajaan tidak akan menaikkan harga RON95 tidak kira yang terjadi kepada harga minyak di pasaran antarabangsa.
“Apa sudah jadi kepada janji itu?” tanya beliau lagi.
Raja Kamarul menegaskan BN tidak akan mudah mendapatkan sokongan undi diposit tetap dalam kalangan pengundi luar bandar. Katanya, orang kampung pun telah merasai kesensaraan akibat GST dan mereka tidak mudah dipujuk seperti masa lalu kerana keadaan kewangan rakyat yang semakin parah.
“Kedai kecil dan besar ada yang sudah tutup. Kilang sekarang mengurangkan ‘overtime’/jumlah pekerja.
“Turun padang dan tengoklah, ekonomi sudah menguncup. Ada premis perniagaan di MidValley, Kuala Lumpur yang tutup. Kalau kedai-kedai di MidValley pun terpaksa tutup maka sudah amat parahlah situasi ekonomi di Malaysia,” tambah Raja Kamarul yang menggesa rakyat memberi peluang kepada Pakatan untuk melakukan yang terbaik demi masa depan rakyat dan negara.