Penduduk Taman Desa dan Taman Tun Dr Ismail mengecam Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar kerana gagal mengambil pendirian berhubung projek pembangunan kontroversi di dua kawasan pinggir bandar Kuala Lumpur itu.
“Sebagai menteri berkaitan, Noh sepatutnya sudah membuat pendirian jelas sama ada sebagai prinsipnya, dia bersetuju dengan cadangan pembangunan mewah di Taman Taman Rimba Kiara dan Taman Desa, atau tidak.
“Ia akan memberi mesej jelas kepada pihak berkuasa tempatan lain di seluruh negara.
“Responsnya yang berdalih, sama seperti Ku Nan (Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor), amat mengecewakan,” kata ahli jawatankuasa Selamatkan Taman Rimba Kiara, Khairudin Rahim kepada The Malaysian Insight.
Semalam, Noh tidak menjawab ketika ditanya tentang kebimbangan penduduk di Taman Desa dan TTDI di mana mereka memfailkan saman untuk mencabar pembangunan kondominium mewah di situ.
Beliau berkata kelulusan awal projek pembangunan itu tidak akan terjejas dengan pembekuan kerajaan terhadap projek perumahan dengan unit berharga lebih RM1 juta bagi mengurangkan lambakan hartanah semasa.
Gabungan Lindungi Taman Desa, yang membantah 13 projek perumahan di kawasan kejiranannya yang sudah sedia sesak itu turut berkata Noh sepatutnya mengambil pendirian menentang projek seumpama itu demi kesejahteraan penduduk.
“Isu asas dengan projek kontroversi di Taman Desa membabitkan kesejahteraan masyarakat bandar yang sudah berusia 40 tahun – terutama berkenaan kenaikan kepadatan populasi dan jualan tanah yang sepatutnya bagi kegunaan kemudahan awam kepada pemaju swasta untuk membina struktur mega demi mengaut keuntungan.
“Kumpulan kami amat kecewa bila menteri yang bertanggungjawab melindungi kesejahteraan penduduk bandar nampak tidak berminat melakukan sedemikian,” kata gabungan itu dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.
“Namun, Kumpulan Lindungi Taman Desa mendesak menteri mengambil pendirian mengikut apa betul secara moralnya dan memenuhi tanggungjawabnya seperti jawatan yang disandang.”
Khairudin berkata jawatankuasa Selamatkan Taman Rimba Kiara akan mengadakan protes pada Ahad untuk mendapatkan sokongan terhadap bantahan mereka kepada projek pembangunan mewah yang akan menyebabkan separuh daripada Taman Rimba Kiara seluas 25 ekar akan terjejas.
Beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak menjalankan pendengaran umum sebelum menukar pengezonan bagi taman itu dan mengurangkan saiznya kepada 48% atau 12 ekar untuk memberi laluan kepada projek berkenaan.
Taman itu dikhaskan sebagai “ruang terbuka umum” dalam derat Pelan Bandar Kuala Lumpur 2020 dan “taman bandar” dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020.
Lot 12 ekar di Taman Rimba Kiara kemudian dijual kepada Yayasan Wilayah Persekutuan.
Yayasan itu sedang membangunkan projek usaha sama dengan pemaju Memang Perkasa.
Cadangan pembangunan itu membabitkan 2,000 unit kondominium di sembilan blok dan satu menara 350 unit untuk penduduk rumah panjang.
Khairudin berkata penduduk berang apabila tanah untuk taman awam itu turut dijual tanpa tender terbuka dan atas nama membantu 100 keluarga rumah panjang.
“Kerajaan sepatutnya memelihara taman itu dan penuhi janjinya untuk membina rumah untuk 100 keluarga rumah panjang. Mereka sudah menunggu 30 tahun,” kata Khairudin.
Katanya, Tengku Adnan berjanji untuk bertemu penduduk TTDI selepas sesi townhall pada 3 November, tetapi tidak pernah berbuat demikian.
Tengku Adnan pada pertemuan itu berkata Taman Rimba Kiara tidak akan disentuh. – TMI