Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo mendedahkan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ialah antara tajuk dibincangkan Lim Guan Eng dan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.
“Pertemuan itu untuk 2 tujuan, satu untuk mengetahui kesihatan Anwar dan proses pemulihannya. Ia adalah perjumpaan baik antara mereka berdua.
“Kedua mengenai persiapan Pakatan Harapan (PK) untuk PRU14,” kata ahli Parlimen Puchong itu dalam sidang akhbar di luar Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar dimasukkan ke HKL selepas pembedahan “arthroskopik” ke atas bahu kanannya pada 12 November lalu.
Ketua umum PKR itu terlibat dalam kemalangan kecil pada 22 September lalu, ketika kenderaan pengiring melanggar bahagian belakang kenderaan penjara yang membawanya dari HKL ke penjara, selepas menjalani rawatan.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun selepas disabitkan kesalahan liwat. Beliau bertegas dirinya tidak bersalah dan mendakwa tuduhan terhadapnya bermotifkan politik.
Mengulas lanjut, Gobind berkata, setiausaha agung DAP itu dan Anwar ada membincangkan mesyuarat tertutup yang akan diadakan PH di Putrajaya, esok.
“Mesyuarat ini akan dihadiri semua pemimpin PH dan kami akan membincangkan dasar serta objektif gabungan yang akan diumumkan selepas mesyuarat itu.”
Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang bagaimanapun mengelak ketika ditanya mengenai mesyuarat tertutup esok.
“Saya tahu mengenainya tetapi saya tidak sepatutnya bercakap apa-apa mengenainya.” – FMT