Pendedahan kos pembelian kapal peronda pantai (OPVs) yang mahal sehingga 870 peratus daripada kos yang sepatutnya masih tidak dijawab oleh Kementerian Pertahanan mahupun kerajaan Malaysia. Demikian ditegaskan oleh ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua susulan pendedahannya pada 7 Februari lalu.
“Setakat ini saya masih menunggu jawapan dari pihak kerajaan berhubung pendedahan saya itu. Memang ada respons tetapi bukan dari pihak kerajaan,” kata Tony ketika diminta mengulas lanjut mengenai isu tersebut.
Dalam pendedahannya, beliau mempersoalkan mengapakah kerajaan Malaysia sanggup membelanjakan sehinga RM6 bilion untuk mendapatkan enam buah kapal peronda pantai. Sedangkan pembelian kapal peronda pesisir pantai oleh Tentera Laut New Zealand hanya bernilai NZ$90 juta (RM210 juta) setiap satu. Israel membayar AS260 juta (RM791 juta). Manakala, kapal kelas Roisin buatan Ireland bernilai AS34 juta (RM103 juta); Super Vita dari Greek bernilai AS$108 juta (RM329 juta); Type 130 dari Jerman (RM572 juta) dan Saar V dari Israel (RM791 juta) setiap satu. Malah, kapal yang paling canggih seperti Littoral (LCS) buatan Amerika Syarikat pun nilainya kurang daripada AS300 juta (RM913 juta) setiap satu.
“Kita akui keperluan pertahanan negara tetapi perlulah dibeli dengan harga yang wajar. Kita juga ingin memberi tentera laut kita alat peperangan yang cukup baik dan berteknologi tinggi. Namun tentunya duit rakyat tidak boleh dibazirkan begitu sahaja.
“Oleh itu kita mahu kerajaan membuat sekurang-kurangnya tender tertutup untuk pembelian kapal ini, bukannya diberi secara rundingan langsung kepada sesebuah syarikat,” bidas beliau.
Menurut Tony lagi, Kementerian Pertahanan juga tidak memberi apa-apa penjelasan kepada syarikat manakah tender pembelian kapal itu diberikan. Cuma berbeza dengan pembelian kapal selam Scorpene yang kontroversi suatu masa dahulu, OPV ini masih belum disahkan sama ada akan dibeli atau dibina secara usahasama dengan syarikat tempatan. Namun bagi Tony, jika melalui usahasama pun kerajaan perlu menunjukkan ketelusan kerana sebelum ini sebuah syarikat tempatan pernah diberi kontrak membina kapal friget (tempur) tetapi bermasalah untuk menyiapkannya.
“Scorpene dibeli dari luar negara, tetapi kapal ini kita tak pasti adakah syarikat tempatan akan membinanya secara bersama. Beberapa tahun dahulu kita telah berikan kontrak pembinaan (friget) kepada sebuah syarikat tempatan. Namun mereka tidak cukup teknologi dan terpaksa merekabentuk kapal di tempat lain dan membeli enjin dari negara lain. Akhirnya projek itu sangat lambat disiapkan dan mengakibatkan kos pembinaan melambung tinggi. Selepas disiapkan terdapat pula beberapa kelemahan pada kapal itu yang perlu diperbaiki,” katanya.
Sehubungan itu, Tony meminta kerajaan Malaysia lebih cermat dan berhati-hati dalam membelanjakan wang rakyat ketika kerajaan mengadu tidak mampu menanggung subsidi minyak dan barang keperluan. Sangat tidak adil dalam masa yang sama sanggup berbelanja berbilion ringgit membeli atau membina peralatan pertahanan dan diberikan pula kepada syarikat yang meragukan.