Oleh: Irene Fernandez
Gobala telah pergi. Pajudin telah meletakkan jawatan. Suhaimi di Selangor berdiri teguh menentang strategi yang menindas haknya dan menindas hak rakyat yang dirancangkan oleh regim di bawah kuasa UMNO.
Ketiga-tiga pemimpin ini adalah seperti dengan yang lain di kalangan kami. Tetapi yang penting ialah rakyat mesti sedar siapa sebenarnya yang berjuang untuk mereka pada ketika mereka memerlukannya. Gobala, yang saya telah kenali sebagai ahli majlis pimpinan tertinggi PKR telah berjanji bahawa beliau tidak akan meninggalkan Anwar dan PKR, bukan seperti yang lain. Mengapa pula beliau membuat keputusan untuk mengumumkan pemergiannya sehari sebelum hari mengundi di Pilihanraya Kecil Tenang?
Hanya Gobala yang tahu sebab-musabab yang sebenarnya. Pemilihan masa yang dibuat oleh Gobala untuk membuat pengumuman tersebut membangkitkan lebih banyak soalan dari jawapan.
Apakah ganjaran yang diberi kepadanya dan oleh siapa? Atau adakah beliau mempunyai apa-apa rahsia peribadi yang akan ditimbulkan yang akan memusnahkan kerjayanya sebagai Ahli Parlimen?
Saya hanya tahu sedikit mengenai Pajudin tetapi masa singkatnya sebagai pemimpin pun telah menonjolkan kebolehannya. Di antara banyak soalan yang ditimbulkan ialah: “mengapakah pimpinan PKR memilihnya padahal ada ramai lagi pemimpin yang berkebolehan di Sabah?” Jawapan Presiden PKR ialah: “untuk menarik minat golongan pemuda terhadap PKR”. Tetapi jelaslah bahawa beliau bukanlah calon yang betul. Ini adalah satu kesilapan besar yang PKR telah melakukan dan sewajarnya PKR harus mempertimbangkan semula cara dan proses pemilihan pemimpin yang dilakukan selama ini.
Pada masa yang sama PKR mempunyai ramai pemimpin yang baik dan bertanggungjawab seperti Suhaimi. Beliau ialah ADUN yang bekerja keras untuk rakyat di kawasannya dan juga untuk Kerajaan Selangor. Oleh kerana kewibawaannya, regim yang bersifat menindas ini hendak “menembaknya” melalui proses mahkamah dengan menggunakan dakwaan yang direka atas isu kesetiaan kepada Sultan.
Polis yang telah diperalatkan oleh regim dibawah kuasa UMNO sekarang telah memberi amaran kepada rakyat supaya jangan berkumpul di depan Mahkamah Shah Alam. Ini adalah amaran yang tidak memasuki akal oleh sebab mereka takut rakyat akan menyokong Suhaimi.
Perbicaraan mahkamah akan mengalihkan tumpuan Suhaimi dan akan memakan sumber seperti masa. Tetapi itulah cabaran yang dihadapi oleh kami sebagai pemimpin apabila kami menentang penindasan terhadap rakyat dan demi menegakkan keadilan, hak rakyat dan demokrasi.
Saya mengimbas kembali kepada perbicaraan mahkamah saya yang mengambil masa 13 tahun di bawah Akta Percetakan Dan Penerbitan 1984 sebab saya telah membongkar di media mengenai keadaan yang teruk di pusat tahanan yang juga melibatkan kematian orang tahanan. Ya, pada masa itu saya menghadapi masa yang susah dan ia adalah satu cabaran yang besar terhadap daya tahanan saya untuk mendapat sokongan dan selalu konsisten terhadap pendirian saya dalam perjuangan untuk hak asasi rakyat, pentabiran yang tulus dan bersih dan menentang rasuah.
Saya juga ingat masa saya menyertai sekumpulan besar orang yang berpuasa selama 72 jam sebagai tanda sokongan dan solidariti dengan Lim Guan Eng yang telah didakwa, dihukum dan dipenjarakan dibawah Akta Hasutan sebab beliau telah berjuang untuk hak seorang budak perempuan yang telah dirogol oleh seorang ketua
menteri. Beliau tidak menyerah kalah dan terus berjuang untuk rakyat demi hak mereka dan juga demi keadilan. Hari ini beliau ialah ketua menteri dan beliau telah mewujudkan satu realiti dan pembaruan dibawah nama Pakatan Rakyat.
Tetapi kekuatan seseorang pemimpin datangnya dari kepercayaan yang kami ada dan juga dari sokongan rakyat. Sebagai pemimpin kami perlu nampak bahawa sokongan dari rakyat semakin meningkat. Ia memberi kami kekuatan yang baru dan motivasi untuk terus berjuang.
Sekarang adalah terpulang kepada rakyat Selangor dan kepada rakyat Malaysia untuk mara ke depan dalam berbagai cara jua termasuk menyumbangkan dana demi mengukuhkan perjuangan seorang pemimpin yang jujur dan ikhlas dan supaya Pakatan tidak akan kehilangan seorang ADUN yang baik dan berwibawa.PKR dan rakyat mesti sedar bahawa di setiap masa, pemimpin yang baik akan dicabar. Kami mesti berasa lega bahawa yang telah meninggalkan parti telah berbuat demikian sebab mereka tidak berupaya menyumbang kepada parti dan juga kerana kepentingan mereka sendiri.
Proses ini akan menguatkan lagi parti PKR sebab manusia membuat keputusan berdasarkan kepentingannya sendiri atau berdasarkan kepentingan rakyat. Saya mengucapkan selamat jalan kepada Gobala dan Pajudin, dengan sedihnya saya ingin menyatakan bahawa kerjaya politik mereka telah musnah.
Kami, sebagai ahli parti PKR dan sebagai rakyat Malaysia mestilah bekerja keras lagi untuk mendidik pemimpin kami supaya menjadi pemimpin yang telus dan berwibawa yang disanjung dan dihormati oleh rakyat dimana rakyat boleh menaruh harapan kepada kami untuk melakukan perubahan kepada masa depan yang cerah. Kami juga memerlukan pemimpin seperti Suhaimi, Anwar dan ramai lagi yang bersama kami yang bertekad untuk melakukan perubahan politik untuk negara kami demi kebaikan masa depan anak dan cucu kami.
_________________________________________
Dr Irene Fernandez adalah Presiden NGO Tenaganita dan Aktivis untuk Perubahan