Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pakatan Harapan (HARAPAN) berjanji untuk membantu masyarakat India jika beliau dapat menjadi perdana menteri sekali lagi.
Bercakap di majlis meraikan Ponggal di Kelang hari ini pengerusi HARAPAN itu berkata masyarakat India di negara ini diharap dapat memainkan peranan penting untuk mempengaruhi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Saya berjanji kalau saya menjadi perdana menteri sekali lagi, saya akan menjaga dengan baik semua rakyat di negara ini.
“Sudah tentu saya akan memberi perhatian kepada keperluan masyarakat India. Ini janji saya,” katanya di majlis anjuran Majlis Penasihat India Malaysia.
“Saya tahu anda semua boleh memberi sokongan kepada kami (HARAPAN) supaya ikrar ini menjadi realiti,” tambah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.
Pada masa sama Dr Mahathir mengakui beliau tidak mempunyai banyak peluang untuk menangani hal-hal masyarakat India.
Dalam gesaannya itu juga Dr Mahathir berkata beliau menjangkakan undi Melayu akan beralih arah secara besar-besaran kepada HARAPAN pada PRU ke-14 nanti.
Pada masa sama katanya BN tetap yakin orang Melayu akan kekal menyokong kerajaan kerana mereka mudah untuk dibeli.
“Tetapi saya tidak fikir begitu. Saya rasa kali ini orang Melayu akan beralih arah menentang kerajaan yang ada sekarang.
“Dan apabila mereka berbuat demikian saya harap dan saya jangka masyarakat Cina dan India akan menyokong kumpulan yang cuba menumbangkan kerajaan (sekarang),” katanya.
Dalam ucapannya Dr Mahathir turut menganggap persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilakukan sekarang menjadi alat untuk memecah-belahkan orang ramai berdasarkan kaum.
Namun katanya masyarakat India yang menjadi kelompok terkecil berbanding Melayu dan Cina, mereka diyakini akan memainkan peranan sangat penting dalam PRU akan datang.
“Mereka mungkin kecil daripada segi jumlah tetapi apabila calon yang bertanding terpecah berdasarkan bangsa, atau mengikut parti, pengundi India mempunyai undi penentu,” katanya yang juga penaung Majlis Penasihat India Malaysia itu.
Sebelum ini kerajaan Datuk Seri Najib Razak mendakwa Dr Mahathir tidak melakukan apa yang sepatutnya untuk mempertahankan hak masyarakat India semasa 22 tahun menjadi perdana menteri.
Najib juga menegaskan beliau lebih banyak membantu masyarakat India di negara ini sejak menjadi perdana menteri lapan tahun lalu berbanding apa yang pernah disumbangkan Dr Mahathir. – Mkini