Ejen pilihan raya dan mengira undi akan memainkan peranan penting di beberapa kerusi marginal utama dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di mana kepakaran mereka mengenali pengundi hantu mampu membawa perubahan antara kemenangan dan kekalahan bagi pembangkang.
Atas alasan itu, Invoke iaitu jentera pilihan raya kajian data besar, sedang berusaha keras mengambil, melatih dan menempatkan kira-kira 100 ejen pilihan raya dan mengira undi pada PRU akan datang.
Badan berkaitan dengan Pakatan Harapan (PH) itu juga berharap untuk memujuk pengundi di kawasan selamat pembangkang untuk memilih menjadi ejen mengundi atau mengira undi di seluruh negara.
Pengasas bersama Invoke, Akmal Nasir berkata berdasarkan kepada pengalaman pada PRU13, jumlah sukarelawan yang ramai di pusat mengundi mungkin akan menentukan keputusan pada PRU ini bagi beberapa kerusi marginal.
“Kami tidak boleh mengulangi kesilapan lagi dengan fokus kepada kempen dan mengabaikan jentera,” katanya.
Setiap calon boleh melantik ejen pilihan raya dan mengira undi (PACA) untuk melindungi kepentingan mereka di pusat mengundi, selain dapat memeriksa ketepatan kertas undi dan memastikan proses mengundi dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan.
Sementara itu, ejen mengira undi boleh mengesahkan pengiraan dan memastikan rekod kiraan.
Akmal berkata tidak begitu sukar untuk mendapatkan PACA bagi kerusi Lembah Klang, tetapi agak mencabar bagi mereka bagi melatih dan menempatkan ejen ke kerusi luar bandar.
Koordinator DAP Pensiangan Adrian Lasimbang berkata ramai sukarelawan di kawasan daerah pedalaman Sabah berdepan kesukaran menjadi ejen pilihan raya dan mengira undi.
“Bagi mereka yang menghadiri latihan, sehari tinggalkan kampung, seumpama sehari tanpa pendapatan,” kata Lasimbang.
Pada Mei 2010, Wong Ho Leng daripada DAP menang majoriti tipis 398 undi bagi kawasan Bukit Assek di Sarawak, selepas ejen pilihan raya dan mengira undi pihaknya menemui 200 undi yang mencurigakan daripada dikira sebagai undi Barisan Nasional (BN).
Lasimbang berkata lebih baik melantik orang tempatan menjadi ejen di kawasan mereka.
“Kami melatih masyarakat di kampung-kampung kerana pusat mengundi berada di kawasan itu, di mana seorang orang kenal semua orang.
“Dan di Sabah, antara isu terbesar ialah pengundi hantu dan bagi membolehkan kami mengesan mereka, kami perlukan orang tempatan yang kenal semua orang di kawasan berkenaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Akmal berkata Invoke percaya bahawa bagi beberapa kerusi marginal, di mana ada kawasan yang pembangkang kalah atau menang dengan beberapa ratus undi majoriti pada PRU lalu, menjadi kunci kejayaan dalam PRU14, adalah kerana kehadiran ejen pilihan raya dan mengira undi.
Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen berkata beliau percaya jika pembangkang menempatkan PACA yang mencukupi pada PRU13, BN pasti boleh ditewaskan.
“Kami membawa gelombang perubahan, tetapi sebenarnya kami tidak ada sistem menempatkan PACA yang mencukupi di semua kerusi kami,” kata Wong dalam satu kenyataan.
“Malah, di Kelana Jaya, kerusi saya di kawasan bandar sekali pun, kami kekurangan 50 PACA pada hari mengundi. Di kawasan luar bandar, lebih teruk masalah kekurangan PACA,” katanya.
Akmal berkata tahun ini, Invoke menyasarkan untuk menghantar PACA ke 50 kerusi marginal yang menjadi sasaran pembangkang.
Sehubungan itu, katanya Invoke mencadangkan satu strategi “berisiko tinggi”, iaitu untuk beberapa pengundi di kawasan yang mendapat sokongan besar kepada pembangkang untuk mengorbankan undi mereka supaya boleh menjadi PACA di kawasan luar bandar atau kerusi campuran.
“Kami berharap sesetengah daripada mereka sanggup melepaskan undi untuk ke kawasan luar bandar dan kerusi marginal bagi membantu pasukan PACA di sana,” kata Akmal. – TMI