BN akan menggunakan persidangan Dewan Rakyat sesi Mac ini meluluskan persempadanan semula. Bagaimanapun penganalisis politik berpendapat persempadanan semula hanya akan menguntungkan BN sekiranya pengundi Melayu luar bandar benar-benar memihak kepada parti itu.
Bagi Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, BN tidak mungkin mendapatkan sokongan yang banyak daripada pengundi Melayu berbanding mana-mana pilihan raya umum (PRU) sebelum ini kerana masyarakat Melayu semakin celik politik.
“Kalau majoriti masyarakat Melayu menyokong Pakatan Harapan (PH), kita tetap akan menang PRU14. Memang tidak dapat dinafikan bahawa persempadanan semula akan memberi kelebihan kepada BN tetapi umum tahu kos sara hidup adalah isu yang lebih besar dan masyarakat Melayu pun sedang merasai bahang kos sara hidup yang meningkat.
“Oleh sebab PM Najib kurang yakin beliau akan mendapat sokongan padat pengundi Melayu, maka timbul isu ‘Robert Kuok’ untuk mempengaruhi orang Melayu supaya tidak menyokong DAP atau PH.
“Namun demikian, masyarakat Melayu kini sudah bijak terutamanya di kawasan bandar yang mendapat berita terkini berkenaan isu 1MDB dan yang terbaru rampasan kapal ‘Equanimity’ di perairan Indonesia. Mereka melihat pentadbiran BN sekarang dibelenggu terlalu banyak masalah.
“Oleh itu PM Najib memerlukan ‘bantuan’ dari persempadanan semula untuk menewaskan Pakatan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering di Perak.
Menurut Nizar lagi, penduduk Melayu kampung pun sudah ‘letih’ dengan pemerintahan BN berikutan harga minyak dan barang keperluan hidup melambung tinggi. Katanya, mereka tidak lagi mudah dirasuah dengan pemberian BR1M.
“Pemberian BR1M tidak dapat membantu dengan banyak kerana harga semua barang amat tinggi berbanding dengan sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan dilaksanakan pada 1 April 2015.
“Ditambah pula desas-desus kadar GST akan dinaikkan kalau BN menang sekali lagi. Rakyat hari ini sudah bersedia memberi mandat kepada kerajaan pusat yang baru.
“Cuma saya kecewa logo dan nama Pakatan masih belum didaftarkan lagi sebagai sebuah koalisi,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Bagaimanapun, Nizar optimis halangan-halangan yang diberi oleh pihak lawan tidak mampu melemahkan semangat pejuangan PH dan rakyat umum mengecapi perubahan pada PRU14 nanti.