Pakatan pembangkang Gabungan Sabah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi menggesa perdana menteri membentangkan laporan persempadanan semula pilihan raya negeri itu.
Laporan persempadanan semula itu termasuklah berhubung 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baru di Sabah.
Saman yang difailkan oleh Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Yong Teck Lee, antara lain, menamakan Datuk Seri Najib Razak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai defendan.
“Kita memohon perintah dari mahkamah bagi menuntur perdana menteri menjalankan tugasnya berdasarkan perlembagaan dan membentangkan laporan SPR di Dewan Rakyat,” kata Yong dipetik The Star sebagai berkata.
Yong bagaimanapun menjelaskan, tindakan yang diambil itu tidak bererti pakatan pembangkang di Sabah memohon mahkamah mengisytiharkan pilihan raya di negeri itu tidak sah.
Merujuk gazet kerajaan persekutuan bertarikh 21 Feb tahun lalu, Yong berkata ia menunjukkan laporan SPR berhubung pertambahan 13 kerusi DUN di Sabah diserahkan pada perdana menteri pada hari itu.
“Kita memohon pengiktirafan mahkamah bahawa perdana menteri terikat dengan perlembagaan dan perlu membentangkan laporan SPR di parlimen sejurus diserahkan kepadanya,” tambahnya.
Pakatan pembangkang itu juga memohon pengiktirafan mahkamah bahawa perlembagaan tidak memberi sebarang kuasa budi bicara kepada perdana menteri untuk tidak membentangkan laporan SPR di parlimen.
Pada sesi parlimen yang membahaskan persempadanan semula, perdana menteri tidak membentangkan laporan persempadanan semula bagi negeri Sabah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tampil menjelaskan, meskipun laporan itu diserahkan SPR, terpulang kepada budi bicara perdana menteri bagi membentangkan laporan itu.
Sementara itu, Yong menambah, perdana menteri mempunyai banyak peluang sebelum ini untuk membentangkan laporan itu di parlimen.
Jelasnya lagi, sekiranya hanya 60 anggota terpilih untuk DUN, dan bukannya 73 seperti yang diperuntukkan di dalam perlembagaan negeri, ia akan mewujudkan keraguan berhubung kesahihan pilihan raya.
Selain Yong, Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Air Edward Linggu, Ketua Pemuda Parti Harapan Rakyat Sabah Jovilis Majami dan Setiausaha Eksekutif Parti Perpaduan Rakyat Sabah Anesthicia Usun turut merupakan antara pimpinan dalam gabungan itu.
Saman itu difailkan oleh peguam Maijol Mahap, Yong Yit Jee dan Benazir Japirl Bandaran. – Mkini