Persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diluluskan pada 28 Mac lalu tidak menggugat sepenuhnya peluang Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menang di kebanyakan kerusi yang mereka bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Bagi Nizar Jamaluddin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Perak kempen menggunakan isu kenaikan harga barang adalah jawapan paling sesuai menghadapi manipulasi sistem pilihan raya oleh kerajaan BN.
Menurut Timbalan Pengerusi Amanah Perak itu lagi, majoriti rakyat marahkan BN selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 2015 yang menyebabkan kenaikan melampau kos hidup. Sekiranya penyokong Pakatan Harapan (PH) dikeluarkan atau ditambah dalam sesuatu kawasan, katanya, pengundi yang masih tinggal cukup untuk memberi kemenangan kepada calon Amanah dan PH.
“Tidak dapat dinafikan bahawa persempadanan baru memberi kelebihan kepada BN tetapi GST dan harga minyak akan ‘membantu’ kami menang.
“Walaupun penduduk kampung kurang menggunakan minyak tetapi harga barang lain tetap mahal,” kata Nizar kepada Suara pakatan daily.
Impak paling besar, menurut beliau lagi, dirasai kaum wanita yang selama ini menyokong BN. Kaum wanita, kata Nizar, sukar menguruskan belanja dapur menghadapi kenaikan harga yang melampau.
“Harga minyak dan minyak masak masih amat tinggi.
“Sebenarnya harga minyak masak sudah meningkat banyak kali. Barang makanan seperti ikan dan daging juga sangat tinggi harganya. Justeru, kalau masak di rumah pun bukan murah kecuali kalau sanggup makan sayur sahaja setiap hari,” sinis Nizar.
Beliau berharap rakyat Malaysia akan mengundi dengan bijak pada PRU 14 kerana harga barang dapat diturunkan apabila GST dimansuhkan dan subsidi minyak serta minyak masak kembali.
“Sebenarnya harga barang-barang di Malaysia murah kerana negara kita mengeluarkan sendiri kebanyakan jenis produk.
“Dengan urustadbir yang baik seperti yang terdapat di Selangor dan Pulau Pinang, semua rakyat akan dapat hidup sejahtera dengan kualiti hidup yang baik tanpa kos yang membebankan.
“Tetapi rakyat mestilah membantu PH untuk menang dan selepas itulah baru PH dapat membantu mereka dengan kuasa di peringkat persekutuan,” tambahnya