Tindakan Barisan Nasional (BN) dan Pas yang mendakwa DAP akan menjadi tunggak negara jika Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya ini hanya untuk menakut-nakutkan orang Melayu sahaja.
Penasihat Kebudayaan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata, ia hanya tohmahan dan sengaja untuk menakut-nakutkan orang Melayu agar mereka tidak menaruh kepercayaan kepada Pakatan Harapan.
Bagi Rais, dalam Pakatan Harapan, hanya DAP sahaja dikira parti bukan Melayu tetapi dalam BN lagi banyak termasuk MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya.
“Mereka bertanding hanya 53 kerusi (parlimen) di Malaysia, DAP mungkin menang 35 kerusi sahaja. 35 kerusi (dari 222 semuanya) tak boleh tentukan corak masa depan pemerintahan.
“Jadi ia hanya tohmahan dan sengaja menakut-nakutkan agar orang Melayu tidak menaruh kepercayaan kepada Harapan,” kata Rais dalam satu video klip khasnya.
Sehubungan itu, beliau yakin bahawa cerdik pandai Melayu sudah bertukar pemikiran mereka tentang perkara ini.
Katanya, mereka yang menganalisis juga dapat menimbulkan kesilapan-kesilapan besar yang dilakukan di bawah perjuangan Umno sekarang dalam BN.
“Induk kepada isu kita adalah GST, harga barang yang begitu mahal dan bagaimana hilangnya aset-aset negara yang dijual keluar negara.
“Ia tentu sekali memberikan kesan yang lebih buruk dari hanya menunding jari kepada DAP kononnya DAP akan memusnahkan hak-hak orang Melayu yang mana ia tidak benar,” kata Rais.
Bagi beliau, detiknya sudah sampai, dan peristiwanya harus dimulai dengan yang baru.
“Orang Melayu harus berfikir sekarang. Orang Melayu bukan orang Melayu 30 tahun atau 20 tahun dahulu.
“Mereka boleh melihat dengan sendiri bagaimana penyelewengan yang banyak dilakukan dan bagaimana kita perlu menukar ini semua,” katanya.
Bagi bekas Menteri Penerangan itu, semua orang boleh melihat sekarang semua bandar utama dengan kampung baru dan kampung-kampung tradisi bergabung untuk menukar kerajaan.
“Kita perlu menukar hala tuju dan masa depan negara dan bangsa,” kata Rais dalam klip video bagi mengajak rakyat menyokong Pakatan Harapan itu. – MD