Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang baru dinamakan sebagai menteri kewangan nampaknya mengambil pendekatan berhati-hati ketika menjawab soalan berkaitan portfolio barunya, dalam sidang media hari ini.
Ketika ditanya berhubung pasaran saham yang akan dibuka esok selepas cuti empat hari, termasuk dua cuti umum, selepas kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN), Lim berkata: “Saya hanya bakal menteri kewangan, bukan broker saham”.
Menurutnya, beliau tidak dapat menjawab soalan berkaitan porfolio baru itu selagi tidak mengangkat sumpah.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pelantikan tiga menteri kanan iaitu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Presiden AMANAH Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri.
Lim berkata beliau tidak akan memberikan sebarang ulasan selagi tidak bertemu ketua Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara dan jabatan lain yang berkaitan, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Pada masa ini, katanya lagi, pegawai daripada Suruhanjaya Sekuriti ada di Pulau Pinang untuk memberi taklimat kepadanya.
“Jadi biar saya jumpa semua pegawai kanan daripada jabatan berkaitan.
“Terima kasih atas ucapan terhadap saya, kami akan bekerja keras untuk menghidupkan semula ekonomi, katanya.
Diminta mengulas bagaimana beliau akan mengendalikan Majlis Penasihat yang turut dianggotai hartawan Rober Kuok, Lim berkata ahli perniagaan itu tidak dapat kembali ke Malaysia buat masa ini.
Anggota lain dalam majlis itu adalah bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden Petronas Tan Sri Hassan Merican, bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram.
“Saya belum berpeluang untuk berjumpa yang lain kerana terus pulang ke Pulau Pinang selepas pengumuman semalam.
“Kami tidak akan lupa (untuk memansuhkan) GST, kita akan lakukan. Kami tidak akan lupa janji tetapi perlukan sedikit masa,” katanya lagi.
Lim juga enggan mengulas ketika ditanya tentang keadaan fiskal semasa negara.
Katanya, kementerian kewangan merupakan kedudukan penting dan setiap kenyataan yang dibuatnya akan memberi kesan kepada pasaran.
Berhubung jika ada arahan untuk ketua pengarah Jabatan Kastam memansuhkan GST, Lim menjawab: “Saya tidak boleh beri arahan sekarang tetapi kita mengambil maklum (hujah) pembelaan beliau terhadap GST”.