Malaysia dijangka memerlukan RM34.6 bilion untuk bayaran khidmat hutang 1MDB sepanjang lima tahun ini, menurut Maybank Kim eng Securities.
Menurut Star Online, firma pelaburan itu berkata bayaran khidmat hutang, sama ada prinsipal dan juga kupon, mencecah kira-kira RM1.7 bilion pada 2019, RM1.7 bilion (2020), RM2.7 bilion (2021), RM15.4 bilion (2022) dan RM13.1 bilion (2023).
Khidmat hutang termasuk faedah dan prinsipal terhadap hutang yang dibuat.
Kerajaan menubuhkan 1MDB pada 2009 selepas Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri.
Pada mulanya, ia bertujuan sebagai sebuah syarikat pelaburan tetapi mengumpul hutang berjumlah RM42 bilion dan berdepan masalah aliran tunai pada 2015.
Walaupun pentadbiran Najib mendakwa proses rasionalisasi hutang dilakukan syarikat itu, kerajaan Pakatan Harapan mendedahkan kerajaan BN sendiri yang membayar khidmat hutangnya.
Kebanyakan hutang 1MDB diraih melalui pengeluaran bon.
Menurut Maybank Kim Eng lagi, antara yang boleh dilakukan kerajaan adalah membeli semula bon dalam dolar AS di pasaran terbuka, seperti bon 1MDB Global Investment yang bernilai AS$3 bilion.
Firma itu berkata, bon itu pada masa ini diniagakan pada nilai tara 89 peratus. – Mkini