Pengundi Melayu berpendapat Presiden PKR Anwar Ibrahim adalah pilihan terbaik menggantikan tempat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Ilham Centre.
Keputusan itu diperoleh walaupun kebanyakan pengundi Melayu dalam kaji selidik itu tidak mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berada di tempat kedua bagi pilihan pengganti Dr Mahathir.
Kaji selidik itu juga mendapati 42% daripada lebih 1,600 responden Melayu memilih Anwar berbanding Zahid yang memperoleh 24%.
Dalam kaji selidik yang sama, 46% responden berkata mereka mengundi Barisan Nasional (BN), manakala 35% memilih PAS. Hanya 17% berkata mereka mengundi PH.
Bagaimanapun, PH berjaya menumbangkan BN pada PRU14.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berada di belakang Anwar dan Zahid dengan sokongan 8% responden. Ini diikuti Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin (7%) dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali (4%).
Anwar dipilih untuk mengambil alih tempat Dr Mahathir dalam tempoh dua tahun lagi berdasarkan persetujuan yang dicapai antara keempat-empat parti komponen PH. Namun, wujud khabar angin bahawa ada pemimpin lain yang akan menggantikan Dr Mahathir.
Persoalan mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri kelapan juga menjadi isu hangat punca perpecahan dalam PKR iaitu parti Anwar.
Kaji selidik Ilham Centre melibatkan 1,622 responden berumur 21 tahun ke atas. Kira-kira 16% berumur antara 21 hingga 29, 19% antara 30 hingga 39, 28% berusia antara 40 hingga 49 dan 21% antara 50 hingga 59, manakala hanya 4% berusia 60 tahun ke atas.
51% responden terdiri daripada lelaki.
Lebih separuh daripada responden adalah di negeri utara, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Majoriti mereka tinggal di bandar (66%), manakala selebihnya adalah dari kawasan pinggir bandar (19%) dan luar bandar (15%).
Kebanyakan daripada 1,622 responden adalah petani, nelayan dan bekerja di kampung (21%), ahli perniagaan (21%) dan penjawat awam (16%). Lebih separuh daripada responden daripada kumpulan B40 (52%) manakala 31% M40 dan 17% T20.
Kajian dijalankan menerusi soal selidik dan temu bual yang dijalankan bermula 1 Jun hingga 30 Julai.
PH mencatat sejarah pada 9 Mei apabila menumbangkan BN dari Putrajaya dengan memenangi 116 kerusi Parlimen. Ia turut mendapat sokongan daripada Parti Warisan Sabah, yang mempunyai lapan kerusi dan Upko mempunyai satu kerusi.
BN memenangi 79 kerusi. Jumlah itu bagaimanapun semakin menurun kepada 54 selepas kehilangan rakan komponennya dari Sarawak dan beberapa ahli Parlimen Umno yang menjadi wakil rakyat bebas. – TMI