Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof berkata ibu bapa sembilan pelajar yang anak mereka dipercayai diliwat pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong masih membiarkan kanak-kanak berkenaan meneruskan pembelajaran di situ.
Menurutnya, selepas bertemu tujuh pelajar yang didakwa menjadi mangsa liwat tersebut, beliau diberitahu ibu bapa terbabit seolah-olah tidak kisah dan masih tidak membawa anak mereka pulang ke rumah.
“Saya tidak akan pergi lanjut (keadaan mangsa) kerana tidak mahu masuk campur perbicaraan.
“Tapi nampaknya dari isu tu, ibu bapa macam tak kisah. Macam cara dia orang (pelajar) cakap tu, seolah-olah ibu bapa tak peduli. Kalau sayalah, kalau anak saya beritahu atau lapor, betul tak betul cepat-cepatlah saya ambil,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat tahfiz berkenaan di Kepong.
Justeru Mujahid meminta ibu bapa pelajar di pusat berkenaan agar mengambil berat soal keselamatan dan kebajikan anak-anak mereka di pusat tahfiz berkenaan.
Selain itu Mujahid berkata beliau mencadangkan ibu bapa pelajar menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz berdaftar yang mempunyai ciri keselamatan, kurikulum dan guru yang diiktiraf Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Katanya, selain berdepan masalah kewangan, beliau difahamkan pusat tahfiz itu kini turut mengalami masalah ketiadaan tenaga pengajar apabila ketiga-tiga guru pusat tahfiz tersebut tidak datang mengajar.
Pada masa ini katanya, pelajar di pusat tahfiz tersebut kini hanya dipantau oleh pelajar senior.
Sementara itu katanya, kementeriannya tidak mempunyai kuasa untuk menamatkan operasi pusat tahfiz berkenaan kerana ia di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Dari segi peraturan, kalau ia tetap beroperasi, ia dikira haramlah. Cuma saya tak ada kuasa untuk tutup.
“Saya akan berhubung dengan menteri wilayah untuk maklumbalas apa yang berlaku dan terpulanglah kepada dia,” katanya.
Rabu lalu, pengetua pusat tahfiz itu didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya dengan 11 pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Zainuddin Yaacob berkata suspek didakwa hasil laporan yang dibuat oleh guru-guru pusat tahfiz itu bersama semua mangsa pada 13 September lepas.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Zainuddin Yaacop berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan sehari selepas polis menerima laporan kes berkenaan, melibatkan pelajar berusia dalam lingkungan 11 hingga 16 tahun – Mkini