Datuk Ibrahim Ali berkata Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon pada pilihan raya umum Parlimen Port Dickson memberi kemenangan mudah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menurut Pakatan Harapan akan mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Presiden Perkasa itu berkata mungkin Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahukan “ganjaran” apabila Anwar kembali ke Parlimen dan menjadi perdana menteri kelak.
“Saya buat telahan ini satu insurans kepada Zahid,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa hari ini.
“Orang tahu Zahid mempunyai hubungan rapat dengan Anwar. Waktu Anwar jadi timbalan presiden, dia dalam Pemuda dan saya pernah jadi ahli majlis tertinggi. Mereka sangat rapat.”
Semalam BN memutuskan untuk tidak bertanding pada 13 Oktober nanti sebagai tanda protes kerana PRK itu diadakan hanya untuk memenuhi cita-cita politik Anwar.
Zahid juga berkata BN tidak akan menyokong atau menghukum mana-mana ahli yang mahu bertanding menetang presiden PKR itu.
Ibrahim bagaimanapun berkata langkah itu tidak tepat, merugikan dan merendahkan martabat sebuah gabungan besar seperti BN.
“Permainan politik pihak atas telah menyebabkan ahli-ahli di bawah yang terkesan. Ini keadan yang luar biasa. Kenapa tidak letak calon di Port Dickson sedangkan Parlimen itu dalam negeri timbalan presiden?” katanya, merujuk kepada Datuk Seri Mohamad Hasan, bekas menteri besar Negeri Sembilan.
“Beberapa pemimpin telah keluar Umno. Apakah Umno dalam proses tutup kedai?” tambahnya.
PRK Port Dickson diadakan susulan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.
Setakat ini Anwar bakal ditentang oleh Parti Rakyat Malaysia (PRM), bekas setiausaha agung MIC Datuk G Kumar Aamaan dan personaliti Twitter, Stevie Chan Keng Leong sebagai calon Bebas. – FMT