Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim berkata masyarakat luar kagum dengan rakyat Malaysia yang berani melakukan perubahan dalam pentadbiran negara ini dengan memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.
Menceritakan reaksi masyarakat luar semasa melawat ke beberapa negara sejak dibebaskan empat bulan lepas, beliau berkata mereka kagum bagaimana Malaysia boleh melakukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan tanpa pertumpahan darah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.
“Kita berubah kerana semua rakyat tanpa mengira kaum bangkit dan bukan hanya sesuatu kaum sahaja,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Bilik Gerakan Utama PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, malam tadi.
Pelancaran bilik gerakan dilakukan oleh Presiden PKR, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar, yang akan bertanding pada pilihan raya kecil yang ditetapkan pada 13 Oktober ini, berkata beliau turut menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat luar yang kagum dengan kemampuannya memaafkan Dr Mahathir Mohamad, yang memecatnya daripada kerajaan pada 1998 dan kembali bekerjasama pada PRU14.
Anwar berkata sokongan dan doa harus terus dihulurkan kepada Dr Mahathir, yang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua, agar beliau diberikan kesihatan yang baik untuk mentadbir negara.
“Giliran Tun Mahathir biar dia jalankan (tadbir) negara dengan baik bersama-sama dengan sokongan kita. Kalau ditakdirkan semua berjalan baik, rakyat sokong, mari giliran saya, saya sambung pula,” katanya serta meminta pihak tertentu supaya berhenti melaga-lagakan mereka.
Tanpa merujuk secara spesifik pihak yang dimaksudkannya, Anwar berkata mereka sepatutnya mendoakan agar hubungannya dengan Dr Mahathir terus kukuh demi manfaat kepada negara keseluruhannya. – TMI