Anggota Parlimen Bagan Serai, Noor Azmi Ghazali yang mengisytiharkan dirinya keluar Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas pada Jun lalu, hari ini bersama-sama dengan empat senator Umno, menyertai Bersatu.
Ini diumumkan semasa sidang akhbar yang dihadiri oleh Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat majlis tertinggi parti itu di Petaling Jaya.
Empat senator berkenaan adalah Khairudin ES Abdul Samad, Aknan Ehtook, Suhaimi Abdullah dan Isa Abdul Hamid.
Mereka kemudiannya menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan menerima kad keahlian daripada Dr Mahathir.
“Kemasukan ahli-ahli baharu ini kita boleh dapat angka yang diinginkan dan syarat kepada mereka adalah menjadi ahli selama setahun tidak boleh pegang apa-apa jawatan,” kata Mahathir.
Noor Azmi memenangi perlimen Bagan Serai dengan majoriti tipis 172 undi berbanding pencabarnya dari PAS, Rohaya Bakar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.
Sebelum ini, pada Oktober lalu, bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mustapa Mohamed turut menyertai Bersatu.
Dengan keputusan hari ini, anggota parlimen Umno yang sudah berkurangan daripada 54 menjadi 48 orang tetapi wakil rakyat Bersatu kini menjadi 15 orang daripada 13 orang.
Selain Mustapa dan Noor Azmi, antara anggota parlimen yang telah keluar Umno selepas PRU14 adalah Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Rosman Isli (Labuan) dan Seri Anifah Aman (Kimanis).
Rozman telah menyertai Parti Warisan Sabah manakala yang lain belum menyertai mana-mana parti. – mkini