Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dinasihatkan supaya tidak membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh menyebabkan kegelisahan di kalangan rakyat.
Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata, pemimpin Umno itu seharusnya menghormati sensitiviti orang bukan Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Beliau telah membangkitkan isu lampu di sebuah bangunan di Jelutong yang menyerupai salib.
“Beliau juga telah meminta tindakan pengubahan segera diambil oleh kerajaan negeri, tanpa mengira sama ada insiden itu dilakukan secara sengaja atau tidak.
“Pada saya, tindakan beliau itu boleh menyebabkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat dengan menggunakan politik sehingga menjadikannya isu perkauman dan agama,” katanya.
Menurutnya, tiada apa-apa bukti yang memperlihatkan bahawa insiden itu telah dilakukan dengan sengaja untuk memprovokasi sensitiviti umat Islam.
“Sebenarnya orang ramai dah jijik dengan mainan ahli-ahli politik Umno yang sering memainkan isu sensitif.
“Kita tidak perlu layan kumpulan pelampau oportunis yang sering menuntut bahawa agama Islam telah tersinggung atau diancam.
Bekas Timbalan Pengerusi PKR Kedah itu berkata, Reezal Merican harus beringat bahawa kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
“Kita harus menghormati sensitivi bukan hanya dari satu kaum atau agama, tetapi kaum dan penganut agama-agama lain juga harus dihormati.