Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad hari ini menyerahkan kad keahlian parti itu kepada beberapa bekas ahli parlimen Umno di Putrajaya.
Daripada tujuh mereka, enam hadir pada masa berita ini ditulis – Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsuddin, Hamzah Zainuddin (Larut), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).
Rosol Wahid (Hulu Terengganu) masih dalam perjalanan untuk menghadiri acara ini.
Mas Ermieyati, bekas timbalan menteri, meninggalkan Umno pada Julai tahun lalu dan mengemukakan permohonannya untuk menyertai Bersatu pada bulan Disember.
Enam yang lain itu pula bertindak meninggalkan Umno pada bulan Disember sebagai membantah kepimpinan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.
Hamzah adalah bekas timbalan menteri perdagangan, koperasi dan konsumer dalam negeri.
Beberapa pihak, termasuk di kalangan Pakatan Harapan, membantah keras tindakan menerima bekas ahli parlimen Umno ke dalam gabungan itu meskipun mereka menjadi ahli parlimen Bebas buat seketika.
Sementara itu, Bernama melaporkan Dr Mahathir berkata keenam-enam anggota parlimen itu diterima menyertai Bersatu setelah mengkaji permohonan mereka selain meletakkan syarat bahawa mereka hanya akan menjadi anggota biasa tanpa memegang sebarang jawatan dalam parti.
“Menjadi ahli Bersatu tidak bermakna mereka mencari perlindungan daripada parti ini. Kita tidak akan memberi perlindungan terhadap apa-apa yang dilakukan dahulu,” katanya. – mkini