Felda boleh diselamatkan dengan suntikan dana kerajaan RM7 bilion, kata bekas pengerusinya Yusof Noor, mengulas masalah aliran tunai dan bebanan hutang tinggi yang kini membelenggu agensi itu.
Dalam wawancara dengan BH Yusof berkata, modal berkenaan mampu mengembalikan Felda ke zaman kegemilangannya sebelum ini, ketika ia mempunyai aliran tunai antara RM2.5 bilion hingga RM5 bilion setahun.
Suntikan modal itu juga katanya mampu membela nasib peneroka yang kini terkesan disebabkan masalah dialami Felda.
“Sekiranya kerajaan tidak mampu, suntikan modal itu boleh diperolehi daripada mana-mana agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain atau gabungan mana-mana agensi dalam negara.
“Namun, jangan sesekali mendapatkan bantuan atau suntikan modal daripada institusi luar yang hanya akan membebankan lagi Felda pada masa depan,” kata Yusof dalam wawancara bersama BH.
Beliau menerajui agensi kemajuan tanah perkutuan itu antara 2001 hingga 2010.
Menurut Yusof, suntikan dana itu hanya untuk menyelesaikan aliran tunai Felda sementra agensi itu masih perlu dipulihkan dengan melihat semula keseluruhan pengurusannya.
Beliau berkata, hutang peneroka berjumlah RM7.5 bilion juga bukan suatu masalah kepada Felda sekiranya aliran tunai agensi itu tidak bermasalah.
“Ini (hutang) menjadi masalah bukan kerana peneroka tidak bayar balik pinjaman, tetapi kerana Felda kini hampir tiada aliran modal,” katanya. – TMI