Rakyat tidak tidak terkejut dengan kemenangan calon BN, Mohamad Hasan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau tempoh hari tetapi hairan dengan jumlah undi majoriti sebanyak 4,510 yang diperolehi beliau kerana calon BN tersebut kurang bersih dan dilingkari beberapa dakwaan korupsi.
Menurut pemerhati ekonomi, Jameson Tan, tidak ada rawatan yang paling sesuai dalam krisis kehilangan sokongan ke atas Pakatan Harapan (PH) ini melainkan memperbaiki situasi ekonomi. Katanya, mengalih fokus kepada agenda Melayu yang pernah disuarakan oleh pemimpin PH selepas kekalahan di Semenyih Februari lalu amat tidak sesuai dan terbukti di Rantau, telah menyebabkan kaum lain enggan menyokong PH.
“Dari keputusan tersebut dapat dirumuskan bahawa tidak berbaloi kalau PH memberi 100 peratus fokus kepada pengundi Melayu dan mengabaikan pengundi bukan-Melayu kerana pada penghujung hari, PH masih akan gagal meraih sokongan majoriti Melayu dan pada masa yang sama pula hilang sokongan pengundi bukan-Melayu.
“Oleh yang demikian, saya berpendapat strategi yang paling baik untuk PH ialah berusaha sedaya-upaya membaik-pulih ekonomi negara supaya semua kaum dapat menikmati kos sara hidup yang rendah dan harga barangan yang murah.
“Sekarang walaupun harga beberapa barang keperluan asas telah turun, harga barang kegunaan harian seperti sabun membasuh pakaian, ubat gigi dan lain-lain barang untuk kegunaan rumah telah mengalami peningkatan harga. Begitu juga dengan harga barang makanan dalam tin dan pelbagai jenis minuman dalam kotak atau paket telah melambung harganya. Kalau harga semua jenis barangan dapat diturunkan dengan banyak, maka sokongan rakyat akan berbalik kepada PH.
“Selain itu, sudah hampir setahun PH menang Pilihan Raya Umum tetapi perubahan adalah lambat. Orang yang membangkitkan isu perkauman masih meneruskan amalan tersebut dan ini telah mempengaruhi pengundi Cina dan India (yang kecewa) untuk tidak menyokong PH,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Mengulas mengenai media milik kerajaan, Jameson tidak menolak Kerajaan PH gagal memanfaatkan media milik negara seperti RTM, TV Alhijrah dan Bernama untuk menerangkan dasar dan skim bantuan kerajaan.
Beliau juga menegaskan kerajaan perlu mengawal media arus perdana yang semakin cenderung menyiarkan berita separuh benar dan mengelirukan rakyat.
Katanya, era media pro BN bebas memanipulasi fikiran rakyat tanpa diambil tindakan sepatutnya telah berlalu.
“Kerajaan PH perlu meneutralkan media arus perdana. Kalau tidak, Kerajaan PH akan terus hilang sokongan penduduk di kampung yang masih berpegang kuat kepada BN.
“Televisyen kerajaan patut dijadikan media untuk mengheboh-hebohkan aktiviti dan jasa-baik Kerajaan PH. Tetapi ini tidak dilakukan. Saya harap Kerajaan PH akan mengambil ikhtibar dari kekalahan di Rantau untuk mengubah strategi.
“Namun demikian, saya pikir PH akan meraih kemenangan di Sandakan pada bulan Mei nanti,” katanya lagi.