Ahmad Faizal Azumu hari ini mengakui ada gerakan untuk menggulingnya sejak hari pertama beliau jadi menteri besar Perak selepas pilihan raya umum, 9 Mei lalu, lapor The Star.
Enggan menyebut siapakah dalang di sebalik gerakan itu, Ahmad Faizal bagaimanapun berkata beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap sokongan dari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
“Saya ingin ulangi kenyataan (terdahulu) yang saya buat semasa mesyuarat exco, kita tak ada masalah, dan kerajaan negeri berfungsi seperti biasa.
“Itu paling penting. Tetapi ada ramai orang yang cuba nak guling saya sejak dari hari pertama. Tetapi seperti yang anda tahu, saya masih MB,” katanya dipetik The Star.
Ahmad Faizal mengulas mengenai rakaman audio mengkritiknya yang tular.
Ada yang mendakwa suara dalam rakaman itu milik Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari.
Aziz menafikan dakwaan tersebut.
“Saya tidak tahu. Saya tidak dengar (rakaman audio), rakaman seperti ini datang daripada sumber tidak rasmi dan boleh dibuat,” katanya dipetik Bernama ketika ditemui pemberita di luar Persidangan DUN Perak, semalam