Masyarakat antarabangsa tanpa mengira latar belakang etnik, budaya dan agama harus menentang keras insiden serangan bom di Sri Lanka yang mengorbankan seramai 207 nyawa serta mengakibatkan ratusan yang lain cedera.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, lebih memilukan apabila serangan itu dilakukan ketika sambutan Hari Easter oleh masyarakat beragama Kristian.
“Kita mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang kejam ini dan menyifatkan pelakunya sebagai manusia tidak bertamadun. Atas apa alasan jua perbuatan sedemikian tidak boleh diterima.
“Jika kita mengutuk serangan ke atas penganut agama Islam di Christchurch New Zealand baru-baru ini, maka dengan nada yang sama kita juga mengutuk serangan ke atas para penganut agama Kristian di Sri Lanka ini dan menuntut mereka yang terlibat diadili dengan sewajarnya,” katanya, hari ini.
Menurutnya, pimpinan politik, agama dan kaum juga adalah disarakan supaya berusaha meningkatkan lagi kesedaran dan pengetahuan para pengikut masing-masing mengenai kepentingan hubungan yang harmoni dan saling menghormat antara satu sama lain.
“Perbezaan agama dan etnik mesti diterima sebagai realiti dan kehendak ALLAH dengan tujuan berkenalan dan saling membantu. Ini tidak wajar menjadi faktor permusuhan dan saling membenci antara satu sama lain.
“Kita yakin jika penganut pelbagai agama betul-betul memahami dan menghayati ajaran agama masing-masing maka tindakan ganas seperti ini dapat dibendung,” katanya.
Jelasnya, masalah dunia hari ini adalah orang menggunakan agama untuk menjustifikasikan tindakan yang didorong oleh nafsu mereka, walhal agama tidak sama sekali merestui tindakan tersebut, malah bercanggah dengan ajaran-ajarannya.