Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada pada 24 April lalu yang memutuskan kesemua wang dalam Tabung Harapan Malaysia (THM) sebanyak RM203,292,117.41 akan digunakan untuk membayar sebahagian daripada hutang 1MDB berjumlah RM51 bilion menunjukkan betapa seriusnya masalah yang melanda negara selepas era BN.
Pembangunan dan janji manifesto PH tidak boleh dilaksanakan kerana keberhutangan yang amat tinggi dan menyukarkan keputusan meluluskan peruntukan baharu.
Bersetuju dengan beban kerajaan PH, Prakash, 35 tahun, seorang pemilik kedai barang elektronik di Kuala Lumpur berkata pembangkang tidak wajar mengapi-apikan sentimen kononnya kerajaan menipu kerana tidak menunaikan janji manifesto kerana realiti, biar pun BN atau Pas yang memerintah maka mereka juga akan berhadapan situasi sukar.
“Ini (keseluruhan tabung digunakan bayar hutang) menunjukkan betapa teruknya masalah 1MDB itu. Justeru, saya berpendapat bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan Umno tiada kemungkinan boleh berjaya lagi dalam pilihan raya-pilihan raya umum yang akan datang sebab tiada orang yang waras yang akan mengundi beliau ataupun parti beliau. Hanya orang gila sahaja yang menyokong pemimpin yang hampir memusnahkan negara.
“Sebagai rakyat Malaysia Baru, kita mesti berpegang pada prinsip dan etika yang betul, bersih dan telus. Kita mesti menjadi modal insan yang baik dan perlu maju ke depan. Dalam pada itu, kita wajar membuang unsur-unsur atau tabiat yang buruk seperti menyokong pemimpin yang mengamalkan rasuah atau pemimpin yang tidak bermoral,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Selain itu, beliau juga berkata golongan usahawan merasa hairan Najib mampu menyelewengkan sebegitu banyak wang dengan ‘bantuan’ ramai orang dan ramai yang tahu mengenai hal itu pula mendiamkan diri.
“Sebuah negara yang pemimpinnya sudah hilang prinsip, etika dan halatuju patut dibuang serta-merta. Tabung Harapan adalah simbol harapan rakyat untuk sebuah negara baru yang berpegang teguh kepada prinsip-prinsip demokrasi.
“Nasib baik rakyat telah bersatu untuk benamkan BN. Mulai 9 Mei 2018 kita hanya perlu mengorak langkah ke depan dan menyokong Kerajaan PH supaya mereka akan menjadi satu kerajaan yang berjaya.
“Saya yakin setelah rakyat berganding bahu untuk menyumbang kepada Tabung Harapan, kita akan meneruskan usaha yang murni ini untuk sama-sama membantu Kerajaan PH menemui cabaran baru,” katanya.