Belum pun kerjasama penuh antara Umno dan Pas termeterai, parti komponen BN telah pun ‘pening’ menghadapi tindak tanduk Pas.
Terbaharu, Presiden MIC SA Vigneswaran menyatakan rasa sedihnya atas sikap beberapa pemimpin PAS dalam menguruskan isu berkaitan Dr Zakir Naik.
Beliau berkata, PAS sepatutnya memberikan nasihat kepada Zakir agar menghormati bangsa lain di Malaysia dan bukan menyokong pendakwah itu tanpa mengambil kira kerumitan hubungan kaum yang ditimbulkannya.
“Bukannya menggalakkan dia untuk mengeruhkan lagi keadaan,” katanya dipetik Malaysiakini.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MIC Ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hubungan MIC dengan PAS sebelum ini adalah musuh politik, namun pada Mac lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menganggap kerjasama antara mereka seumpama sebuah keluarga.
Bagaimanapun kebimbangan terbaharu Vigneswaran ini menunjukkan hubungan MIC dan PAS sukar untuk berjalan lancar selagi mana PAS mengekalkan agenda sempit agama yang dibawanya sehingga Pakatan Rakyat sebelum ini bergolak.
Menurut Vigneswaran pendirian parti itu dalam isu Zakir adalah tetap walaupun MIC bekerjasama dengan PAS serta Umno.
Sementara itu Vigneswaran berkata MIC tidak bimbang dengan keberadaan Zakir di negara ini selagi dia tidak membangkit isu perkauman.
Sebagai parti pembangkang, kata Vigneswaran, MIC juga tidak berminat untuk mengambil tahu sama ada Putrajaya akan mengekalkan Zakir di negara ini – sebagai pemastautin tetap – atau menghantarnya pulang ke India.
“Kami tidak menentang mana-mana pendakwah. Tidak ada sesiapa menyoal keindahan dan kesucian Islam.
“Apa yang kami mahu ialah, beliau (Zakir) tidak mewujudkan ketegangan perkauman,” katanya lagi. – RF8 Media