Selepas setahun pemerintahan Pakatan Harapan hutang sebenar peneroka kepada Felda mula dikenalpasti dan turun sehingga 40%
Menurut Pengerusi Pertubuhan Suara Generasi Kedua Felda (SGK2) Mohammad Stap Othman berkata, penyata pendapatan format baharu pada November yang diaudit bersama panel daripada pertubuhan SGK2 menyaksikan perubahan berkenaan.
Manakala sebahagian peneroka akan menerima semula bayaran pulangan yang menunjukkan Felda berhutang kepada peneroka hasil audit forensik kewangan yang dijalankan pada awal bulan ini bersama bahagian kewangan Felda.
“Pasukan forensik kewangan kita berjaya mengenal pasti isu bagaimana peneroka boleh dikenakan hutang yang tinggi, sehingga ada yang kata mereka berhutang sampai RM100,000 kepada Felda,” katanya dipetik.
Kesilapan besar Felda dalam era BN dalam menghitung bayaran itu diketahui apabila SGK2 dibenarkan menyemak akaun berkenaan bersama firma audit, katanya yang turut menganggotai pasukan itu.
“Pasukan forensik kita ada empat orang, kita minta supaya kami sebagai pemegang taruh dibenarkan sama-sama semak dengan syarikat audit Erns & Young.
“Felda sudah janji sebelum dimuktamadkan kita semak dulu,” kata Stap yang merupakan salah seorang anggota panel yang memuktamadkan penyata peneroka.
Warga peneroka sudah lama mengadu mengenai masalah kiraan hutang dan menuduh pengurusan Felda menyembunyikan butiran tersebut untuk mengaut bayaran yang tidak berkesudahan.
Melalui audit forensik itu mereka kini faham hutang tinggi itu antara lain disebabkan kesilapan besar Felda merekodkan tabungan dan levi peneroka sebagai perbelanjaan.
Tidak cukup dengan itu, peneroka juga dikenakan faedah 6.25% ke atas perbelanjaan tersebut, kata Stap.
“Penyata peneroka contohnya duit tabung dan levi, dimasukkan dalam perbelanjaan. Macam mana hutang peneroka tak tinggi,” katanya.
Sedangkan jumlah hutang sebenar ditanggung peneroka yang paling tinggi direkodkan hasil audit forensik itu hanyalah sekitar RM60,000, katanya.
“Daripada RM100,000 paling tinggi direkodkan, hutang sebenar peneroka hanya RM60,000. Besar kemungkinan ada Felda berhutang dengan peneroka. Itu Felda kena bayarlah,” katanya.
Amalan yang berlaku sejak 13 tahun lalu itulah yang menyebabkan pendapatan peneroka susut dan semakin banyak menanggung hutang, kata Stap.
Walhal, keseluruhan duit tabungan yang dikutip daripada lebih 112,000 peneroka daripada 317 tanah rancangan itu sepatutnya sudah berjumlah RM2 bilion, katanya.
Tegasnya, perkara itu amat tidak adil kerana Felda mengenakan faedah ke atas simpanan peneroka, yang sudah menanggung bayaran levi.
“Duit tabung simpanan berbilion ringgit, tapi duit itu tidak ada sebab Felda sangka itu duit belanja, sedangkan sebenarnya itu simpanan peneroka.
“Saya memang lantang. Saya kalau nak marah peduli apa, kami pemegang taruh. Kamu bekerja dengan kami, kami bayar levi RM12 seekar, kemudian kamu caj faedah,” katanya.
Beliau berkata pendedahan itu dibuat dalam mesyuarat bersama bahagian kewangan Felda pada 7 Ogos lalu.
“Felda baru sedar perkara itu, dalam mesyuarat saya dedah baru mereka sedar. Apabila kita tukar format, baru jumpa penyelesaian mengapa hutang peneroka tinggi.
“Simpanan kita dalam tabung ada kira-kira RM2 bilion, tapi duit itu sudah tiadalah. Cuma kita hendak angka itu.
“Tapi peneroka kena tuntut. Bila Felda hendak bayar tunggulah mereka ada duit,” katanya.
Rekod Felda mendakwa, baki hutang peneroka mencecah angka RM7.7 bilion pada 2018 yang merangkumi antara lain, kos penanaman semula, pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil.
Felda bagaimanapun menghadapi kesukaran untuk mengutip semula hutang itu akibat kelemahan proses pengurusan, kelewatan proses mengemas kini rekod dan akaun peneroka yang belum dikunci.
Susulan itu, kira-kira 20,000 peneroka bertindak mengambil alih kebun mereka dan menghantar hasil kepada peraih dan kilang persendirian bagi mengelak pemotongan hutang oleh Felda.