Sikap berlenggah Kementerian Kesihatan (KKM) dalam proses regulasi (undang-undang) penggunaan dan penjualan rokok alternatif (Vape) dinegara ini dikritik seorang Ahli Parlimen kerajaan.
Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (KEADILAN-Kapar) menegaskan tindakan penguatkuasa merampas cecair mengandungi nikotin membuatkan rakyat merasa keliru.
Menurut Abdullah Sani lagi, kerajaan hari ini sepatutnya melihat industri vape sebagai aktiviti yang boleh menjana pendapatan negara kerana usahawan Bumiputra tempatan sendiri menguasai pasaran Vape dunia.
“Malaysia telah dikenalpasti sebagai pengeksport kedua yang terbesar di dunia, kerajaan patut mengambil peluang yang mana industri vape ini boleh menyumbang ke hasil pendapatan negara di samping dapat mengukuhkan ekonomi rakyat Malaysia sendiri.
“Dianggarkan lebih kurang 5,000 usahawan bumiputera yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dan lebih kurang 50,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan ini dapat berkembang setelah industri ini diregulasikan,”katanya ketika sidang media di lobi Parlimen.
Terdahulu, pemain industri Vape Malaysia dan komuniti pengguna rokok alternatif itu menggesa kerajaan mempercepat proses regulasi ( undang-undang) berkait penjualan cecair vape.
Menurut mereka, Vape telah terbukti berjaya mengurangkan jumlah perokok konvensional yang menyebabkan lebih mudarat kepada kesihatan pengguna kerana bebas 4000 bahan kimia dan sebatian tar yang terkandung dalam rokok bertembakau.
Tindakan kerajaan yang dilihat memberi layanan berat sebelah terhadap usahawan vape tempatan juga telah menyebabkan baru-baru ini negara kehilangan pemain terbesar dalam industri ini.
Syarikat terbesar pengeluar vape milik Bumiputra Ncig Malaysia Sdn Bhd yang beroperasi di Tampin memutuskan untuk berpindah operasi ke negara Indonesia yang telah meregulasi penjualan cecair vape.
Selain membuka peluang pekerjaan warga tempatan, Ncig turut menggunakan lebih 100,000 tan minyak sawit tempatan bagi penghasilan produknya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Shariffudin Bujang membuat kenyataan itu pada satu sidang media berkata, keputusan sukar itu menyebabkan ribuan pekerjanya hilang pekerjaan.
“Industri itu membuka peluang pekerjaan dengan kemunculan ramai usahawan bumiputera yang menceburkan diri dalam perniagaan.
“Pihak KKM sepatutnya mengambil tindakan memberikan penerangan secara terperinci mengenai undang-undang sedia ada yang diguna pakai oleh KKM kepada pemain industri supaya mereka dapat mematuhi sebarang garis panduan sekiranya ada yang (memerlukan) mereka untuk patuhi.
“Bila nak bentang? Kalau nak bentang jangan serbu dan rampas dulu. Jangan biarkan rakyat keliru, apa hala tuju kerajaan,” tambah beliau.