Sikap baik antara MCA dan PAS bersama Umno ketika ini kata Tun Dr Mahathir hanyalah hipokrasi politik tidak ikhlas bagi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Perdana Menteri itu berkata, pemimpin pembangkang daripada MCA mahupun PAS sentiasa bertindak lain daripada apa yang dicakapkan terutama dalam isu kerjasama kedua-dua parti.
“Tidak ikhlas. Hipokrit. Di depan (orang Melayu) konon (mereka) pejuang Melayu, bila mai (datang) sini (Tanjung Piai) (sokong) bukan Melayu …kira kepentingan untuk menang pilihan raya,” katanya kepada pemberita.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu sebelumnya ditanya mengenai kerjasama MCA-PAS melalui orang tengah mereka, Umno.
Sikap ditonjolkan kedua-dua parti itu ketika kempen di Tanjung Piai dilihat agak agak pelik kerana sebelum ini MCA dan PAS tiada persefahaman dan tidak bersetuju dalam banyak perkara terutama berkaitan Islam dan Melayu.
Justeru, Dr Mahathir berkata rakyat dan pengundi dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai seharusnya lebih bijak dengan menilai perjuangan Pakatan Harapan demi keperluan negara.
“Walaupun ada isu orang Cina, ada isu orang Melayu, ada isu orang India, tapi apabila kita tumpu kepada keperluan negara kita, kita ketepikan perkara itu.
“Kita cari jalan untuk selesaikan pertikaian itu kerana kita tahu di Malaysia kita tak boleh layan sama rata semua orang. Apabila kita dapati semua bersatu hati dan menerima kerajaan campuran, negara kita akan maju,” katanya. – RF8 Media