Mahkamah Persekutuan Putrajaya menetapkan April depan untuk mendengar permohonan bekas anggota Unit Tindak has (UTK), Azilah Hadri untuk menyemak semula keputusan sabitkannya atas kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu.
Peguamnya J Kuldeep Kumar memberitahu pemberita bahawa mahkamah tertinggi itu telah menetapkan 20 April 2020 untuk mendengar kes itu selepas pengurusan kes itu dijalankan dihadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Norkamilah Aziz, hari ini.
Beliau turut mengesahkan bahawa pihaknya memfailkan permohonan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman gantung yang dikenakan terhadap Azilah oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015.
Pihaknya turut telah menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang antara lain mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak mengarahkannya untuk membunuh Altantuya pada 2006.
“Kami memfailkan permohonan ini mengikut Aturan 137 Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
“Selain mengetepikan sabitan dan hukuman, kami juga memohon supaya perbicaraan kes berprofil tinggi ini dibuat semula,” katanya
Semalam, Azilah membuat dakwaan mengejutkan melalui SD mendakwa menerima arahan daripada Datuk Seri Najib Razak untuk membunuh Altantuya.
Azilah membuat dakwaan itu ketika sedang menanti hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Altantuya.
Memetik laporan Malaysiakini, dia yang kini berada di Penjara Kajang mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib yang ketika kejadian adalah Timbalan Perdana Menteri dan rakan rapatnya, Abdul Razak Baginda.
Dalam pengakuan itu, Azilah mendakwa dia bersama bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan ‘shoot to kill’ (tembak mati) sebagai anggota pasukan UTK. – RF8 Media