Pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini dijangka lebih baik berbanding tahun lepas dengan adanya pelbagai inisiatif dari kerajaan.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang berdaulat telah menghadapi cabaran namun kerajaan berusaha untuk menangani isu ekonomi berdasarkan asas ekonomi.
Dipetik laporan Bernama, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata kerajaan mahu memastikan asas ekonomi kekal kukuh termasuk dari segi fiskal selain mengekalkan keyakinan bukan sahaja pelabur malah agensi antarabangsa.
“Kita boleh lihat pertumbuhan ekonomi negara masih sihat, unjuran pertumbuhan ekonomi pada kira-kira 4.7 peratus, lebih baik berbanding negara-negara lain.
“Sesetengah negara jiran jauh lebih teruk, tetapi kita yakin bahawa tahun ini kedudukan ekonomi akan lebih baik berbanding tahun lepas,” katanya di Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang semalam.
Sehubungan itu tegasnya, Lim berkata kerajaan telah mengenal pasti lima perkara yang akan menjadi penggerak atau pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.
Perkara itu ialah harga komoditi termasuk kelapa sawit dan minyak mentah yang telah meningkat; ketegangan perang dagang akan reda dan peningkatan perbelanjaan kerajaan.
“Perkara keempat adalah reformasi institusi yang juga akan mendorong penjimatan, keberkesanan dan kecekapan tercapai.
“Terakhir adalah inisiatif kerajaan yang akan menyuntik dana kepada pasaran, antaranya program e-dompet yang akan dijalankan minggu depan,” tambahnya lagi.
Lim berkata berlandaskan semua inisiatif yang dilaksanakan dan langkah yang diambil, kerajaan optimis bahawa pertumbuhan ekonomi tahun ini akan lebih baik. – RF8 Media