Sejak pembukaan sepenuhnya ekonomi pada 1 Julai lalu keadaan semasa di Malaysia tidak sebaik dijangkakan. Perbelanjaan rakyat merosot dan tidak kembali sebagaimana sebelum perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.
Bagi Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran, situasi ekonomi kelihatan agak lembab berbanding Februari lalu.
Menurut beliau, rakan-rakan yang memiliki pelbagai jenis perniagaan memberitahu sekiranya situasi lembab berterusan dalam dua atau tiga bulan ke hadapan mereka mungkin terpaksa menutup atau menghentikan perniagaan.
“Walaupun semua restoran sudah dibuka, namun pelanggan amat kurang. Orang lebih cenderung masak di rumah untuk menjimatkan kos. Dalam bulan-bulan yang berikutnya tentu ada restoran yang akan tutup sebab tidak mampu menanggung kos operasi,” ulas Manogaran.
Seorang peniaga Gilbert Tan yang dihubungi Suara Pakatan Daily pula berkata, benar ekonomi Malaysia telah dibuka sepenuhnya tetapi banyak sempadan negara luar masih ditutup. Negara maju pula masih dilanda wabak Covid 19. Justeru, produk Malaysia kurang pasaran menyebabkan banyak kilang mengurangkan pekerja atau tutup terus. Hal itu katanya menyebabkan rakyat kurang berbelanja.
“Saya kurang optimis dengan situasi ekonomi terkini. Ini adalah kerana bukan sahaja ekonomi Malaysia tetapi ekonomi seluruh dunia sedang mengalami kemeseletan. Oleh itu, tiada perkembangan dalam perdagangan dapat dilakukan. Sektor pelancongan masih lumpuh kerana banyak negara belum buka sempadan dan ada juga negara yang sedang mengalami gelombang kedua penularan wabak Covid-19.
“Banyak jenis perniagaan sedang mengalami masalah kekurangan pelanggan dan di antaranya ialah kedai-kedai yang menjual barangan mewah sebab tumpuan rakyat sekarang ialah kepada barang-barang makanan dan barang keperluan harian sahaja.
“Saya menjangka banyak kedai yang menjual barang yang bukan makanan ataupun bukan keperluan harian tidak lama lagi akan ditutup,” katanya. Beliau merupakan seorang usahawan hartanah yang menyewakan ruang pejabat dan rumah kedai kepada pemilik-pemilik perniagaan.
Gilbert menegaskan banyak pemilik perniagaan yang menyewa shoplot daripada beliau belum lagi membayar sewa semasa PKP dari Mac hingga Jun dan ada pula yang sudah ‘bungkus dan cabut’ tiba-tiba di tengah malam tanpa memberi notis dan ini menyebabkan beliau mengalami banyak kerugian.
“Kedai pakaian, kedai kasut, kedai perabot dan sebagainya yang menjual barangan yang boleh dilabel sebagai ‘tidak penting’ mengalami kekurangan pelanggan. Penyewa-penyewa ini mempunyai masalah membayar sewa, bil-bil utiliti dan gaji pekerja. Justeru, saya berpendapat mereka tidak akan dapat bertahan lama.
“Banyak perniagaan akan mengalami nasib seperti ini sebab rakyat sekarang berjimat. Kini di Malaysia ada dua ketidakpastian iaitu ketidakpastian dalam situasi ekonomi dan juga ketidakpastian situasi politik kerana ramai orang bertanya adakah Pakatan Harapan masih mampu kembali berkuasa.
“Dalam hal yang lain tetapi berkaitan dengan ekonomi juga, seorang analis politik di Singapura memberi pandangan bahawa Pilihanraya Umum (PRU) diadakan di Singapura bulan Julai ini sebab pihak kerajaan berpendapat tahun depan ekonomi seluruh dunia belum pulih ataupun akan menjadi lebih teruk.
“Justeru itu, peluang kemenangan masih ada pada tahun ini walaupun PRU tidak perlu diadakan sekarang kerana had jangkamasa luput ialah bulan April tahun depan. Dari sini, kita boleh lihat negara-negara seperti Korea Selatan dan Singapura bergegas mengadakan PRU sebab tiada kepastian dalam situasi tahun depan dan vaksin belum tentu lagi boleh dihasilkan dengan cepat walaupun pakar-pakar kesihatan seluruh dunia sedang bekerjasama dan berusaha bertungkus-lumus dalam usaha yang murni ini,” katanya lagi.