Biar pun Belanjawan 2021 telah diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara namun rakyat masih tertanya-tanya mampukah kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendapatkan sejumlah hasil yang diunjurkan bagi membenarkan kesemua peruntukan dalam belanjawan tersebut.
Belanjawan 2021 diperuntukkan sebanyak RM322.5 bilion yang mana RM236.5 bilion untuk belanja operasi, RM69 bilion pembangunan dan RM17 bilion bagi dana melawan Covid 19.
Bagi ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, kutipan hasil mungkin tidak setinggi sebagaimana diunjurkan, iaitu cukai pendapatan individu sebanyak RM42 bilion dan cukai pendapatan korporat RM65 bilion.
Kekurangan hasil, kata beliau, tentunya akan mengurangkan kebolehagihan peruntukan kerajaan.
“Kutipan hasil cukai untuk tahun 2020 pastilah amat kurang berbanding dengan hasil kutipan tahun 2019. Ini bererti kerajaan akan ada kesukaran untuk memenuhi peruntukan-peruntukan yang telah dirancangkan dan yang tertera dalam Belanjawan 2021,” katanya dipetik.
Selain itu, beliau juga khuatir terhadap sektor peruncitan yang tidak pulih sepenuhnya kerana rakyat kurang berbelanja akibat kekurangan pendapatan.
Hal itu, menurut Nizar, akan mengurangkan kutipan cukai perniagaan dan akan mempengaruhi perbelanjaan kerajaan.
“Ramai orang sedang mengalami masalah kewangan pada masa ini. Rakyat pun tidak banyak wang untuk berbelanja dan hasil buatan atau produk dari kilang sedang mengalami masalah jualan yang menurun.
“Bulan depan pula sekolah akan bermula dan seperti biasa pada awal tahun bayaran perlu dibuat untuk Cukai Tanah dan Taksiran. Banyak keluarga telah memberitahu saya mereka tidak tahu bagaimana hendak mencari wang yang lebih untuk membuat bayaran-bayaran yang kini kian bertimbun.
“Oleh itu, saya berpendapat diakibatkan oleh kekurangan pendapatan untuk negara akibat wabak Covid-19, kerajaan patut berbelanja dengan berhemah dan setiap Ringgit yang dibelanjakan wajar dilakukan telus, jelas dan terperinci,” katanya lagi.
Menurut Nizar, kerajaan PN juga harus memulihkan imej berkompromi terhadap rasuah dengan membebaskan beberapa kes berprofail tinggi sebelum ini.
Tanpa ketelusan pelaburan langsung asing tidak masuk dan terus menekan ekonomi Malaysia.
“Kes-kes rasuah wajib diberi hukuman yang setimpal atau pelabur asing tidak akan lagi datang ke negara kita.
“Selain dari itu, urus-tadbir kerajaan mestilah dikemaskini supaya wang tidak dibazirkan dan Kerajaan PN mesti sedaya-upaya melaksanakan langkah-langkah untuk menjimatkan wang. Rakyat sedang ikat perut dan para pemimpin patut juga berbuat demikian,” tambah beliau.