Darurat yang digambarkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini sebagai usaha biasa untuk mengekang merebaknya wabak Covid 19 sebenarnya tidak dijelaskan dengan jujur kesan besarnya kepada pemerintahan negara.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, darurat bukan sahaja mengubah cara membuat undang-undang tetapi kerajaan PN sebenarnya telah pun tumbang dengan perisytiharan itu dan digantikan dengan kerajaan baharu.
Malah katanya, janji-janji yang dibuat oleh menteri-menteri PN yang lalu juga tidak terpakai dalam kerajaan baharu ini.
“Kerajaan awam semasa darurat sekarang bukan lagi Kerajaan PN. Jemaah Menteri bersama PM yang menjadi Eksekutif (pentadbir) sekarang sebagai kerajaan tidak memikul tanggungjawab undang-undang terhadap janji-janji menteri dalam Kerajaan PN lalu yang telah tumbang, sebaik sahaja Proklamasi Darurat diumumkan pada 21 Januari lalu.
“Kerajaan darurat tidak ada kuasa untuk memaksa bank-bank bersetuju melanjutkan moratorium (bagi membantu rakyat) sehingga darurat tamat,” katanya.
Bagaimanapun menjawab persoalan yang sering ditimbulkan oleh para netizen kebelakangan ini, adakah kerajaan darurat di Malaysia sama sebagaimana di negara-negara lain yang memberi bantuan makanan kepada rakyat, menurut Hassan hal itu tidak akan berlaku kerana Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin telah membayangkan kerajaan ini masih merupakan kerajaan awam dalam proklamasi darurat.
“Kerajaan awam semasa darurat tidak memikul tanggungjawab mandatori di bawah undang-undang untuk menanggung subsidi makanan kepada rakyat.
“Tidak ada peruntukan undang-undang yang menyatakan sedemikian.Tetapi Kerajaan memikul tanggangjawab moral untuk membantu rakyat yang susah semasa darurat,” katanya lagi.
Kerajaan darurat diisytiharkan oleh PM Muhyiddin pada 12 Januari lalu dan akan berlangsung sehingga 1 Ogos 2021, atau lebih pendek bergantung kepada situasi Covid 19 semasa.