Meskipun sehari sebelum Tahun Baharu Lunar yang dirayakan oleh majoriti rakyat Myanmar, namun suasana tunjuk perasaan anti junta tentera tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda, malah semakin merebak ke beberapa buah bandar utama.
Tunjuk perasaan yang bermula pada Sabtu lalu di bandar terbesar Yangon dan Mandalay terus-menerus berlangsung setiap hari dengan saiz yang bertambah besar.
Pada peringkat awal polis pencegah rusuhan masih mampu menyuraikan demonstran di tengah pusat bandar Yangon.
Namun perkembangan sejak dua hari lalu, polis pencegah rusuhan tidak lagi bertempur dengan sebahagian besar penunjuk perasaan.
Menurut agensi berita Channel News Asia, tunjuk perasaan turut disertai kakitangan awam yang menganjurkan kempen ‘abaikan perintah junta tentera’
“Di Naypyidaw (ibu negara) beratus-ratus kakitangan kerajaan menyertai tunjuk perasaan, di bahagian Timur pula dilaporkan polis menyertai tunjuk perasaan
“Pemerintah tentera bertindak balas dengan mempertegaskan peraturan berhimpun (tidak lebih 5 orang) dan memperketatkan perintah darurat pada waktu malam di bandar besar,” kata CNA dalam laporan mereka.
Namun selepas dua hari perintah itu berkuatkuasa tunjuk perasaan tidak berkurangan manakala angka harian yang keluar ke jalan-jalan raya dilaporkan melebihi 10,000 orang.
Semalam dilaporkan jurutera dan jururawat turut menyertai masyarakat awam melaungkan pembebasan tokoh demokrasi Aung San Suu Kyi yang ditahan junta tentera.
Tunjuk perasaan juga merebak ke pekan-pekan kecil dan tentera masih gagal mengawal keadaan sejak 5 hari lalu.